Usah korban jati diri kerana kuasa, pangkat dan populariti - Sultan Sallehuddin

Iklan
Sultan Sallehuddin

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan supaya umat Islam jangan mengorbankan jati diri sebagai seorang Muslim semata-mata kerana inginkan kuasa, kekayaan harta benda, pangkat dan populariti

Titah baginda, ini kerana kesemuanya itu hanya sementara dan tidak akan kekal lama.

Iklan
Iklan

Sultan Sallehuddin bertitah, umat Islam hendaklah mengutamakan persaudaraan, integriti, kualiti insan dan keberkatan dalam segala tindak tanduk yang kita laksanakan.

"Janganlah kerana tamakkan pencapaian dan kemajuan duniawi serta mahu melihat kejayaan secara drastik, kita sanggup korbankan kehendak agama dan musnahkan nilai kemanusiaan dengan melakukan fasid di atas muka bumi ALLAH ini," titah baginda ketika Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah dekat sini pada Ahad.

Iklan

Baginda bertitah umat Islam pada hari ini juga perlu dibangunkan dengan asas-asas kerohanian yang kukuh agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran dan himpitan hawa nafsu.

Titah baginda, umat Islam yang lemah dari segi kerohanian akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis moral akhlak, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

Iklan

"Justeru bagi memastikan kedudukan umat Islam terjamin,maka perlu bagi kita mengatur segala urusan

kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak di samping kita perlu memperkasakan institusi Islam seperti masjid, surau dan sebagainya.

"Perpaduan adalah asas paling utama bagi memakmurkan diri, masyarakat dan negara. Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa, bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, penghijrahan Rasulullah juga membuahkan hasil apabila berjaya mengubah permusuhan kepada penyatuan kejahilan kepada ilmu serta kemunduran kepada pelbagai limpahan kemajuan.

"Umat Islam menjauhi diri dari menimbulkan bibit-bibit perpecahan yang ternyata amat merugikan.

"Jangan sampai orang bukan Islam terus mentertawakan kita malah mengambil kesempatan merendahkan martabat Islam atas kelemahan yang kita sendiri ‘cipta’, ikutilah panduan yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah," titah baginda.

Baginda bertitah sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan bukan datang bergolek tanpa ada usaha yang berterusan dan memerlukan pelbagai pengorbanan.

"Penghijrahan juga perlu berlaku secara beransur-ansur dengan harapan membuahkan hasil akhirnya.

"Paling penting, jaga ibadah kita kepada ALLAH SWT diikuti hubungan sesama manusia," titah baginda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!