Keluarga terjebak dadah, budak 4 tahun tidur bersama longgokan sampah

Iklan
Akibat keluarga terjebak dadah, seorang kanak-kanak berusia empat tahun terpaksa hidup dalam rumah yang dipenuhi longgokan sampah.

KUALA LUMPUR - Akibat keluarga terjebak dadah, seorang kanak-kanak berusia empat tahun terpaksa hidup dalam rumah yang dipenuhi longgokan sampah.

Paparan video memilukan itu tular di media sosial TikTok yang dimuat naik @shanizam9910, pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Berdasarkan rakaman video berdurasi 24 saat itu, didapati segenap ruang rumah dipenuhi longgokan sampah plastik, kertas, kotak-kotak, pakaian yang tergantung selain keadaan tilam yang kotor.

Perkara itu terbongkar selepas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melakukan lawatan dan program bagi mendekati masyarakat di Tanah Merah, Kelantan.

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan keadaan sebuah rumah yang dipenuhi sampah dan dihuni kanak-kanak berusia empat tahun.

Iklan

Jurucakap AADK ketika dihubungi berkata, rumah itu dikesan secara kebetulan selepas terdengar kanak-kanak menangis semasa melalui kawasan terbabit.

"Anggota kami (AADK) terus pergi ke rumah terbabit untuk pemeriksaan dan mendapati setiap ruang bilik hingga ke dapur kediaman itu dipenuhi longgokan sampah.

Iklan

"Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun turut ditemui di dalam rumah itu dalam keadaan tidak terurus dan amat menyedihkan," katanya pada Ahad.

Selain itu, kata Jurucakap AADK, turut menghuni kediaman itu adalah seorang wanita dan juga anak remajanya berusia 18 tahun.

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan keadaan sebuah rumah yang dipenuhi sampah dan dihuni kanak-kanak berusia empat tahun.

Tambahnya, berikutan itu, AADK segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu keluarga terbabit serta menyelamatkan kanak-kanak kecil itu untuk rawatan selain penjagaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati abang kanak-kanak itu positif dadah, manakala ibunya difahamkan mengalami masalah kemurungan emosi akibat perceraian sebelum ini," ujarnya.

Menurut AADK lagi, pihaknya turut membantu remaja terbabit melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti bagi memulihkan masalah penagihan.

"Selain itu, AADK dan JKM turut bergotong-royong melakukan khidmat masyarakat dengan membersihkan rumah berkenaan supaya ia selamat dihuni keluarga itu," katanya.

Sinar Harian difahamkan, kes itu dilaporkan berlaku pada Februari tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!