Pengarah filem Mansor Puteh meninggal dunia akibat kemalangan

Iklan
Gambar kecil: Allahyarham Mansor Puteh

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengarah dan pengkritik filem, Mansor Puteh, 71, terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Alam Damai, Cheras, di sini, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.10 pagi.

Iklan
Iklan

"Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara dari arah Taman Len Seng menghala ke Taman Alam Damai dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

"Kereta dipandu mangsa telah melanggar pembahagi jalan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Iklan

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987

Allahyarham pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada era 80-an.

Selain itu, beliau juga menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years.

Dalam pada itu, berita sedih itu turut dikongsi pengarah dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop dalam hantaran di akaun Facebooknya kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Ahad.

Dalam hantaran itu beliau turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada dunia seni.

"Innalillahi wa inna ilaihi rajioun, saudara Mansor Puteh telah meninggal dunia pagi tadi akibat kemalangan. Satu lagi kehilangan buat warga seni. Al Fatihah," katanya.

Dalam hantaran itu, Al Jafree memuat naik gambar hitam putih yang memaparkan gambarnya bersama Allahyarham.

Berita duka itu turut dimaklumkan anak saudara arwah, Adeed Adillah Abdullah, di akaun Facebooknya.

"Salam semua, bagi yang mengenali 'uncle' saya Mansor B Puteh, beliau telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

"Jenazah sekarang berada di HUKM bg tujuan post mortem dan akan diuruskan di sana.

"Jenazah akan dibawa ke Melaka untuk dikebumikan lewat petang nanti setelah selesai semua.

"Mohon doakan uncle saya Mansor Bin Puteh," tulis Adeed Adillah.

Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Mansor pernah menjadi wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!