Bekas johan qariah dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu

Iklan
Masnah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu sempena sambutan Maal Hijrah 1446H peringkat negeri di Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU - Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu tahun ini menjadi milik bekas johan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa tahun 1999.

Masnah Awang, 73, menerima hadiah RM20,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis sambutan Maal Hijrah 1446H peringkat negeri di Wisma Darul Iman di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurut Masnah, anugerah yang diterima itu menguatkan lagi motivasinya untuk terus berkongsi ilmu dengan generasi muda agar mendalami al Quran sebagai panduan menjalani kehidupan.

"Selama ini, saya hanya berhasrat untuk memastikan murid dan anak cucu mendapat ilmu al-Quran yang sempurna. Tak sangka pula usaha saya terima pengiktirafan. Saya bersyukur sangat sebab terima anugerah yang tidak disangka.

Iklan

"Semoga pengiktirafan ini akan dijadikan inspirasi untuk anak cucu dan murid-murid saya agar terus melakukan yang terbaik dalam pekerjaan dan pelajaran mereka supaya menjadi mukmin profesional dunia akhirat," katanya.

Masnah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu yang disampaikan oleh Ahmad Samsuri di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Masnah yang merupakan ibu tunggal kepada lapan anak itu merupakan satu nama yang tidak asing di Terengganu kerana banyak mengharumkan nama negeri dan negara dalam bidang tilawah al Quran sejak 1980-an.

Iklan

Ketika ini beliau masih berkhidmat sebagai tenaga pengajar bagi kelas al-Quran di Pejabat Agama Daerah Marang dan mengajar taranum di Asrama Darul Falah.

Selain itu, beliau turut bertugas sebagai guru al-Quran di bawah Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk mengajar di Masjid Kampung Rawai, Masjid Alor Limbat, Masjid Jerong Tuan dan Surau Kampung Pasir Tinggi.

Penglibatan dalam bidang tilawah al-Quran turut diwarisi kepada cucunya yang telah dua tahun berturut-turut (tahun 2007 dan 2008) mewakili negeri Terengganu ke Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan

"Saya bersyukur kerana usaha dalam bidang al-Quran ini tidak terhenti setakat saya malah juga diwarisi kepada cucu-cucu saya," katanya yang mempunyai 32 orang cucu dan 10 orang cicit.

Pada majlis itu, Penjara Terbuka Marang menerima anugerah sebagai premis makanan halal terbaik dengan hadiah kemenangan RM3,000, manakala Tokoh Pempengaruh Islam dianugerahkan kepada Syed Norhisyam Tuan Padang Al Idrus dengan membawa pulang RM3,000.

Bagi anugerah masjid kerajaan terbaik pula dianugerahkan kepada Masjid As-Salam, Batu Rakit dengan hadiah RM5,000 manakala Surau Ummul Qura, Kuala Terengganu pula memenangi anugerah surau terbaik dengan hadiah RM4,000.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!