Individu terkait kerugian Mara Inc sudah didakwa - Asyraf Wajdi

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan individu dikaitkan dengan kerugian terkumpul sebanyak RM286.3 juta yang ditanggung Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) telah didakwa di mahkamah.

Asyraf Wajdi berkata, individu terbabit sudah pun dihadapkan ke muka pengadilan dan perbicaraan kes berkenaan ketika ini sedang berjalan.

Iklan
Iklan

Katanya, ia melibatkan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian hartanah di Australia pada harga lebih tinggi daripada nilai pasaran.

"Pembelian tersebut menunjukkan harga lebih tinggi dan melampau daripada nilai pasaran sehingga akaun Mara Inc rekodkan kerugian terkumpul. Perkara ini diketahui apabila penilaian semula dibuat ke atas aset-aset dan perubahan kepada kaedah pelaporan perakaunan.

Iklan

"Kes ini merangkumi pembelian tujuh aset luar negara dalam urusan meragukan oleh Mara Inc yang merupakan anak syarikat Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara tahun 2012 hingga 2014," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf pada Sabtu dilapor menjelaskan bahawa kerugian Mara Inc bernilai RM 286.30 juta yang terkumpul sejak 2012 hingga 2022 seperti dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berpunca daripada pembelian aset luar negara.

Iklan

Kata beliau, kerugian itu membabitkan sejumlah urusan pembelian aset khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, separuh daripada hartanah tersebut juga sebenarnya sudah dijual menerusi Pelan Rasionalisasi Mara Inc yang diluluskan Majlis Mara pada September 2015.

Menurut beliau, pelan berkenaan dijalankan untuk melunaskan semua hutang bank luar negara sekali gus menjadikan semua aset-aset hartanah yang masih ada di Australia dan UK sekarang bebas hutang.

Ujarnya, Majlis Mara dan Mara bertekad untuk memastikan tidak berlaku lagi sebarang ketirisan, penyelewengan dan pembaziran membabitkan wang rakyat yang diamanahkan dengan meletakkan aspek tadbir urus korporat serta tatakelola kewangannya di tahap tertinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!