KUALA LUMPUR – Edisi Terhad Sunan terbitan Buku Prima yang diterbitkan pada Mei lalu mendapat sambutan hangat apabila ia habis terjual dalam masa tidak sampai dua bulan
Penulis novel berkenaan, Ramlee Awang Murshid berkata, dia amat terharu dengan sokongan yang diberikan meskipun ada di antaranya sudah pun pernah membeli karya berkenaan sebelum ini.
"Terima kasih kepada semua pembaca, peminat novel yang menyokong novel tulisan saya selama ini kerana ia memberi semangat untuk saya terus menghasilkan karya baharu selepas ini,” katanya pada Temu Mesra Eksklusif bersamanya di MPH Book Store, Plaza The Exchange TRX pada Ahad.
Kira-kira 100 peminat novelis berkenaan hadir sejak awal pagi membawa novel kegemaran masing-masing untuk ditandatangani secara eksklusif oleh penulis novel seram, thriller berkenaan.
Menurut Ramlee, edisi terhad set buku Sunan yang kini hampir mencecah usia dua dekad tampil dengan kulit muka baharu bersama 24 rekaan ilustrasi khas bagi menarik lebih ramai pembaca.
"Set buku ini didatangkan bersama kotak dengan tiga judul buku iaitu Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta yang dicetak sebanyak 1,000 unit dan sudah habis terjual,” katanya.
Dalam pada itu, Eksekutif Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Nurul Shahirah Jasman berkata, beberapa novel lain tulisan Ramlee Awang Murshid yang turut mendapat sambutan luar biasa termasuklah ‘Perempuan Busana Merah’ dan komik Bagaikan Puteri (Adaptasi dari novel terlaris, Bagaikan Puteri).
"Perempuan Busana Merah sudah hampir terjual lebih 7,000 naskhah begitu juga dengan komik Bagaikan Puteri (Vol1) yang ilustrasinya lebih jelas, menarik bagi menghasilkan penceritaan yang menarik,” katanya.
Sementara itu, pembaca tegar novelis berkenaan, Linda Raduan,44, menyifatkan novel Sunan mempunyai tarikan tersendiri menyebabkan dia ingin terus bersama-sama dengan novel lain tulisan Ramlee Awang Murshid.
"Tulisan beliau mengenai kepahlawanan, peperangan di zaman silam sampai ke jiwa dan memang patut untuk dibaca,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Seksyen 19 Shah Alam, Mohd Saiful Firdaus Mohd Hamzi, 16, berkata, dia sememangnya mahu bertemu dengan penulis berkenaan kerana tidak berkesempatan hadir pada pesta buku yang lalu.
"Ibu saya juga pembaca novel Ramlee Awang Murshid, sekarang minat itu turun kepada saya kerana novel tulisan novelis itu seperti benar-benar berlaku di alam realiti dan itu yang membuatkan saya tidak lekang untuk terus membaca novel tulisannya,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!