KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, pembentangan itu diminta sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan ia juga akan menyentuh laporan berhubung insiden melibatkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.
"Kita bukan hanya melaporkan apa berlaku, tetapi (juga akan) mengambil tindakan, terutama kalau perlu pinda akta, dan kita lihat apakah kelemahan sekarang," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga seorang pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber, di Gombak Setia di sini, hari ini.
Mayat pempengaruh wanita berumur 29 itu ditemui di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lepas.
Fahmi berkata, masalah utama menangani buli siber adalah kebanyakan pelaku bersembunyi di sebalik akaun palsu sehingga menyukarkan usaha mengenal pasti identiti mereka.
"Salah satu aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi daripada pihak polis adalah akaun-akaun yang terlibat dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan ini, berselindung di sebalik fake account, tidak dapat dikenal pasti identiti individu yang mengeluarkan komen atau terlibat dalam scam dan sebagainya," katanya.
Fahmi berkata, keluarga pempengaruh itu telah membuat laporan polis dan pihak kementerian telah berhubung dengan TikTok yang menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama lebih proaktif.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai termasuk penjawat awam supaya mengelak daripada menjadi pembuli siber, sebaliknya terus mengekalkan adab dan budaya ketimuran.
Beliau berkata, pihaknya akan menimbangkan keperluan meminda akta sedia ada berkaitan buli siber, dan menegaskan bahawa individu yang terlibat dengan kes kematian pempengaruh itu akan dibawa ke muka pengadilan.
"Perkara ini dimaklumkan kepada Perdana Menteri semalam dan saya juga telah bercakap dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Kita mempunyai pendirian yang sama dalam isu ini dan akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi.
"Kesalahan-kesalahan bukan hanya dalam isu seperti mengaibkan atau menzahirkan maklumat peribadi yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, jadi insya-Allah kita akan adakan pertemuan dan meneliti undang-undang sedia ada dan apakah langkah-langkah perlu kita ambil," katanya.
Selain itu, Fahmi berkata, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini yang mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!