PETALING JAYA - LBS Bina Group Berhad (LBS) menganjurkan majlis ‘flag off’ sebagai simbolik kepada pelancaran jejambat Bandar Saujana Putra dekat sini pada Ahad.
Pelancaran dinanti-nantikan penduduk Bandar Saujana Putra dan pengguna jalan raya sekitarnya disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada tengah malam tadi.
Menteri Besar ketika berucap berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dengan memberi keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya di Selangor.
"Antaranya jejambat Bandar Saujana Putra ini yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk dengan mengurangkan masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas," ujarnya.
Pada masa sama, Amirudin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada LBS atas sumbangan syarikat tersebut terhadap pembinaan dan pelancaran jejambat Bandar Saujana Putra.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, beliau bersyukur akhirnya projek itu dapat disiapkan walaupun pelbagai cabaran dihadapi ketika pandemik Covid-19.
Beliau juga percaya pelancaran jejambat Bandar Saujana Putra akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membantu meningkatkan aliran trafik di lokasi kritikal itu.
Jelasnya, penyempurnaan jejambat itu juga menandakan satu pencapaian penting dan tepat pada masanya, selaras dengan pelancaran projek Sutera LBS pada April lepas.
"Pembangunan ini terdiri daripada unit pangsapuri dan rumah bandar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM 207 juta, di mana ia memberi nilai tambah di Bandar Saujana Putra.
"Perbandaran ini terdiri daripada pembangunan bercampur strategik dengan pilihan komprehensif kediaman dan unit komersial memenuhi keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Majlis pelancaran turut dihadiri Exco Infrastruktur dan Pertanian, Ir Izham Hashim, Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor, Raja Ahmad Shahrir Iskandar serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim.
Terdahulu, projek jejambat itu diumumkan pada 2019 dan kini dibuka untuk kegunaan awam sekali gus menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Pada masa ini, populasi penduduk Bandar Saujana Putra mencecah hampir 20,000 orang dan jejambat itu dijangka dapat membantu mengawal aliran trafik di kawasan terbabit.
Sementara itu, Raja Ahmad Shahrir pula berkata, jejambat dan persimpangan Bandar Saujana Putra itu juga menghubungkan rangkaian lebuh raya utama.
"Maka dengan pembangunan ini saya yakin nilai hartanah di Bandar Saujana Putra dan sekitar akan meningkat dengan ketara," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!