Banci Pertanian 2024 dilancar secara rasmi

Iklan
Mohd Uzir (tengah) memulakan 'kick off' Banci Pertanian 2024 dengan melawat tanaman pegaga, misai kucing dan kemunting Cina yang diusahakan petani, Johari (kiri) di Kampung Kok Klang, Mata Ayer, Kangar, Perlis pada Ahad. - Foto: DOSM

SHAH ALAM - Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Banci Pertanian 2024 bermula 7 Julai hingga 10 Oktober depan.

DOSM dalam satu kenyataan berkata, liputan banci merangkumi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan atau akuakultur serta perhutanan dan pembalakan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan tersebut, pelaksanaan banci penting dalam menghasilkan penanda aras baharu bagi mewujudkan pangkalan data yang komprehensif dan tepat.

"Ia turut memudahkan perbandingan dan penanda aras antarabangsa, memastikan sumber yang terhad digunakan dengan berkesan untuk menyokong pembangunan pertanian serta merangka strategi berkesan berasaskan bukti bagi menangani cabaran atau peluang.

Iklan
Poster pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang rasmi bermula pada Ahad.

"Parameter utama banci yang akan dimasukkan dalam soal selidik mengambil kira keperluan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) supaya dapat memenuhi Dasar Agromakanan Negara serta Dasar Agrokomoditi Negara,” katanya pada Ahad.

Peluncuran atau ‘Kick Off’ Operasi Lapangan Banci Pertanian 2024 disempurnakan oleh Pesuruhjaya Banci Pertanian merangkap Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Kampung Kok Klang, Kangar, Perlis sebentar tadi.

Iklan

Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri bersama anggota pembanci lapangan seluruh negara memulakan operasi luar ke tempat kediaman atau pertubuhan bersempena Hari Banci Pertanian 2024.

Mohd Uzir turut melawat pengusaha tanaman pegaga seluas 1.42 ekar, misai kucing dan kemunting Cina untuk produk minuman herba iaitu Johari Din.

Pengumpulan data merangkumi 11 tema yang disarankan ‘World Census Agriculture’ 2020 iaitu ciri demografi pertanian, tanah dan keluasan bertanam; sistem pengairan; pekerjaan, gaji dan upah; latar belakang pendidikan; agropelancongan; kemudahan pembiayaian; pendapatan, perbelanjaan dan aset; amalan pertanian dan penggunaan teknologi; ekonomi digital serta dan keterjaminan makanan.

Berdasarkan kenyataan itu, dapatan banci mampu menyediakan statistik pertanian semasa yang akan memanfaatkan semua pihak termasuk pemegang taruh, kerajaan negeri, penyelidik, ahli akademik, pengusaha pertanian dan orang awam.

Tambahnya, sasaran utama banci adalah membangunkan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu yang mengandungi maklumat rantaian pertanian (huluan dan hiliran) serta dikemaskini secara berkala.

"Dengan tercapainya hasil banci pertanian ini, negara dapat bergerak ke arah agenda pertanian melalui pembuatan keputusan berasaskan bukti selaras keperluan dan perubahan persekitaran.

"Kejayaan Banci Pertanian 2024 sememangnya memerlukan kerjasama semua pengusaha isi rumah, institusi dan pertubuhan yang menjalankan aktiviti pertanian.

"Maklumat lanjut boleh dilayari di portal Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu www.myagricensus.gov.my dan Facebook Banci Pertanian 2024 di www.facebook.com/bancipertanian2024/,” kata kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!