SHAH ALAM - Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan keadaan fizikal dan mental Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang ditemui selamat pada Sabtu setelah hilang sejak 18 Jun lalu kini berada pada tahap yang baik.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, status terkini anggota terbabit dalam keadaan normal.
"Keadaan kesihatan dari segi fizikal dan mentalnya disahkan berada pada tahap yang baik.
"Beliau telah ditemukan dengan keluarganya di Miri yang mana sebelum ini kesemua mereka telah dibawa ke sana," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, antara menjadi fokus kini adalah mengenal pasti punca kehilangan anggota berkenaan sebelum ini.
"Selain itu, ia turut meliputi dari segi mengkaji sekiranya terdapat sebarang kelemahan melibatkan prosedur operasi berkaitan," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Muhammad Syafiq ditemui selamat pada Sabtu selepas hilang di sempadan Malaysia-Brunei ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak sejak 18 Jun lalu.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota tentera itu dijumpai pada jam 11.29 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut kenyataan itu, Prebet Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.
Prebet Muhammad Syafiq ditugaskan sebagai pengiring penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong ke Bebuloh, Limbang bermula 11 Jun hingga 2 September 2024 yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!