Bawa usul pembebasan, keadilan buat Najib - Nazifuddin

Iklan
Mohd Nazifuddin (tengah) memukul gong sebagai gimik pada Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor pada Ahad.

KUALA SELANGOR - UMNO diminta membawa usul pembebasan dan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam persidangan UMNO bahagian masing-masing.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, isu Najib harus diperjuangkan kerana ia sebahagian daripada janji yang telah dibuat bersama Kerajaan Perpaduan, namun sehingga kini masih belum tertunai.

Iklan
Iklan

"Sampai hari ini, Bossku tidak mendapat keampunan penuh, walaupun telah diberikan (Titah Adendum), namun ditolak (mahkamah) termasuk tahanan di rumah juga tidak diberikan.

"Perkara ini harus dibincangkan daripada peringkat akar umbi supaya kita dapat terus bersama dalam isu kebebasan Najib," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini pada Ahad.

Iklan

Mohd Nazifuddin yang juga anak kepada Najib memberitahu, seluruh kepimpinan tertinggi UMNO dan ahli perlu bersatu padu bagi memastikan pembebasan Najib dapat dilaksanakan.

Tegas beliau, isu pembebasan Najib amat dekat di hati rakyat negara ini dan ia perlu diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh.

Iklan

"Kalau saya ambil contoh PKR (Parti Keadilan Rakyat) boleh memperjuangkan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka UMNO juga boleh perjuangkan keadilan untuk Bossku.

"Saya berharap usul ini menjadi satu gelombang menyatukan UMNO dan penyokong supaya kita boleh bergerak ke arah PRU akan datang," tambah beliau.

Pada Rabu, Najib gagal dalam usahanya untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar kewujudan Titah Adendum yang dikatakan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, agar beliau dapat menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan itu, termasuk afidavit yang difailkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sekadar khabar angin.

Dalam pada itu, Mohd Nazifuddin juga berharap Pemuda UMNO di semua peringkat bahagian boleh menggerakkan parti itu ke satu landasan lebih baik bagi memberi keyakinan kepada rakyat.

"Maksud saya hala tuju UMNO bersama parti-parti dan gabungan Barisan Nasional (BN) supaya kita boleh diterima semula oleh rakyat," katanya.

Jelas beliau, UMNO kena berubah mengikut citarasa anak muda dan juga rakyat agar bersama-sama dengan parti itu pada PRU yang akan datang.

"Memang rangka dia belum jelas lagi, tetapi kita perlu menyoal parti apakah strategi ke arah PRU akan datang.

"Adakah bersama dengan PH (Pakatan Harapan) atau bersendirian lebih baik untuk masa depan UMNO ini sendiri.

"Ini bukanlah bermaksud kita bermusuh dengan parti-parti lain, tetapi kita kena pilih pendirian yang terbaik," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Aliff Asyraf Azhari berkata, Pemuda bersetuju sebulat suara sekiranya isu pembebasan Najib menjadi usul bahagian itu.

"Saya sempat bersembang dengan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Jahaya Ibrahim dan beliau bersetuju untuk membawa usul ini di peringkat bahagian," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!