RAWANG - Seorang kanak-kanak lelaki yang sedang mencari lokan nyaris lemas selepas terjatuh ke dalam Tasik Teratai dekat Serendah di sini pada Ahad.
Mangsa yang berumur sembilan tahun itu bagaimanapun sempat diselamatkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.13 petang.
"Mangsa bersama rakannya dipercayai sedang mencari lokan di sekitar tasik terbabit sebelum terjatuh.
"Bagaimanapun mangsa sempat diselamatkan orang ramai ketika kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, pemeriksaan awal ketika anggota bomba tiba di lokasi mendapati mangsa masih bernafas.
"Mangsa bagaimanapun didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Anggota bomba bertugas kemudiannya melakukan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!