Premis hiburan gajikan warga asing tanpa permit diserbu

Iklan

KUALA LUMPUR - Kegiatan sebuah premis hiburan dekat Plaza Puchong di sini dipercayai menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah terbongkar selepas diserbu polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (D9) IPK Kuala Lumpur kira-kira jam 12.10 tengah malam.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan dijalankan kemudiannya menahan seorang lelaki warga tempatan, enam lelaki dan 39 wanita warga asing.

"Tangkapan dijalankan atas kesalahan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, bekerja tanpa permit kerja yang sah serta melanggar syarat pas lawatan sosial," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Iklan

Katanya, serbuan dijalankan turut merampas empat keping kertas disyaki jadual kerja dan kesemua suspek yang ditahan berumur dalam lingkungan 19 hingga 51 tahun.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Iklan

Tegas Ravindar, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang, boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!