Mendengar denyut nadi rakyat

Iklan
Rakyat sebenarnya amat terkesan dengan kenaikan harga barangan dan kesannya lebih ketara kepada mereka berpendapatan rendah dan sederhana. Foto hiasan

SEBULAN lalu, kerajaan telah melaksanakan penyasaran harga subsidi diesel melibatkan penetapan harga runcit bahan api diesel mengikut harga pasaran.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mendedahkan kes penyelewengan minyak diesel telah menunjukkan penurunan sebanyak 87 peratus selepas penyasaran subsidi diesel bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaannya.

Iklan
Iklan

Menurut kerajaan, penyasaran subsidi diesel itu dijangka menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion. Namun, pada masa sama kesannya juga menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan di pasaran.

Perkara itu disebabkan antara lain berlakunya peningkatan kos pengangku-tan, logistik dan operasi bagi pelbagai sektor yang akhirnya memberi kesan terhadap peningkatan harga barangan serta perkhidmatan kepada pengguna.

Iklan

Sektor pertanian turut terkesan kerana sebahagiannya bergantung kepada penggunaan diesel bagi peralatan dan mesin pertanian. Ia memberikan kesan terhadap kos pengeluaran barangan berasaskan pertanian, yang akhirnya berpotensi untuk peningkatan harga barangan pertanian.

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga terkesan. Sebahagiannya sukar menyerap kenaikan kos diesel yang menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan.

Iklan

Kesan penyasaran harga subsidi diesel sebenarnya tidak hanya terhad kepada industri langsung seperti pengangkutan dan perkilangan, bahkan ia turut menjejaskan rantaian sektor lain termasuk perkhidmatan serta peruncitan.

Inflasi juga berpotensi meningkat – akhirnya menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan dan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana yang sudah pun terkesan dengan tekanan kos sara hidup tinggi.

Perkara itu boleh juga menyebabkan berlaku pengurangan dalam perbelanjaan pengguna dan seterusnya memberi kesan ke atas sebahagian peniaga yang akan memperoleh pendapatan berkurangan.

Tentu sekali keadaan akan menjadi semakin mencabar bagi isi rumah pendapatan rendah dan sederhana untuk menampung keluarga.

Sebelum ini kajian diterbitkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) terhadap isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur mendapati kesan kenaikan harga barangan menyebabkan keadaan menjadi lebih mencabar berbanding semasa pandemik Covid-19.

Lapan daripada 10 isi rumah berdepan situasi mencabar untuk memperoleh pendapatan mencukupi bagi menampung keperluan asas hidup dan ia lebih tinggi berbanding tujuh daripada 10 sebagaimana dilaporkan semasa pandemik.

Bagaimana pula keadaan selepas penyasaran harga subsidi diesel dilaksanakan? Adakah keadaan jadi lebih baik atau sebaliknya terutama kepada mereka berpendapatan rendah dan sederhana? Adakah Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani), Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan bantuan tunai lain dapat menampung kenaikan harga barangan yang berlaku?

Terdapat keperluan mengkaji secara mendalam kaedah pelaksanaan penyasaran harga subsidi diesel yang menjana penjimatan RM4 bilion berbanding kesannya terhadap rakyat secara keseluruhan. Perkara itu amat penting sebelum sebarang cadangan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95.

Mengambil kira situasi semasa dan kesukaran dihadapi rakyat ketika ini, maka penyasaran subsidi petrol RON95 wajar ditangguhkan sehingga kajian lengkap kesan pelaksanaan penyasaran harga subsidi diesel terhadap pelbagai pihak termasuk pihak industri, PMKS dan pengguna dilaksanakan.

Rakyat sebenarnya amat terkesan dengan kenaikan harga barangan dan kesannya lebih ketara kepada mereka berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, terdapat keperluan meningkatkan pelaburan dan menggalak penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Perkara itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api, bahkan memberikan impak positif kepada negara.

Melalui penggunaan kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui, ia akan dapat membangunkan masa depan lebih lestari untuk generasi akan datang.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.