Lima suspek kes pecah rumah di Subang Jaya ditahan

Iklan
Barangan kes yang berjaya dirampas pihak polis selepas menahan lima suspek pecah rumah di sekitar Lembah Klang pada Sabtu. Foto PDRM

SUBANG JAYA - Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah dekat sini yang menyebabkan kerugian RM40,000 pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada hari kejadian, mangsa bersama keluarga telah keluar pergi bekerja, namun kembali ke rumah jam 12.30 tengah hari dan mendapati pintu pagar rumah mereka telah dirosakkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa mendapati bingkai besi pintu utama rumah telah diumpil dan keadaan dalam rumah berselerak selain barang berharga serta wang tunai turut hilang.

"Pada Sabtu jam 8 malam, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun di sekitar Lembah Klang berhubung kes disiasat.

Iklan

"Pihak polis turut merampas sebahagian daripada barang kes seperti jam tangan dan beg tangan wanita," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wan Azlan berkata, hasil siasatan awal ke atas suspek, kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan polis percaya dengan penangkapan mereka itu berjaya menyelesaikan lebih 15 kes pecah rumah di daerah Subang Jaya.

Iklan

"Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627100 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!