10 kru cemas, kapal bocor sebelum karam

Iklan
Maritim Malaysia menyelamatkan kru kapal yang karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu di sini, pada Isnin.

SEPANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan 10 kru sebuah kapal yang karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu di sini, pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, dalam kejadian pada jam 3.35 pagi, 10 kru termasuk kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan berikutan kebocoran yang tidak dapat diatasi.

Iklan
Iklan

"Kita menerima maklumat berhubung kapal karam itu melalui panggilan daripada VTMS Klang kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menyatakan, sebuah kapal MV Kum Jin telah mengalami kebocoran di bahagian hadapan ballast tank sebelah kiri yang agak teruk," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abdul Muhaimin berkata, dalam insiden itu Bot Perkasa 36 Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi walaupun dalam cuaca buruk.

Iklan
Antara kru kapal yang diselamatkan.

"Setibanya di lokasi, pasukan bot ronda Maritim Malaysia mendapati, kapal MV Kum Jin dalam keadaan tidak stabil dan kesemua kru dan kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan," katanya.

Iklan

"Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri, kapten kapal merupakan warga Indonesia berusia 53 tahun.

"Kru kapal lain merupakan warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah," katanya.

Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim agar sentiasa cakna dengan perubahan cuaca dan aspek keselamatan di laut.

"Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 / Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-89957820 untuk maklum balas segera," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!