Mamat Exist didenda RM4,000

Iklan
Mamat (tengah) bersama abangnya, Mehmood Kamarudin (kanan) selepas selesai membayar denda atas kesalahan memiliki dadah di kaunter Kompleks Mahkamah Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bekas vokalis Exist, Mamat didenda RM4,000 atau penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan pada 2019.

Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang selama dua tahun.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan pada Isnin, Mamat didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine pada jam 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Tuduhan sebelum ini dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam bela, Azlina Abdul Aziz.

Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan itu.

Iklan

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 selepas Mamat membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.17 gram.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan di Taman Perling pada jam 11.35 malam, 8 September 2019.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Adriana Azrin manakala Mamat diwakili peguam yang sama.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan menerusi peguamnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!