KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dan tradisi di Menara PGRM, Cheras hari ini.
Dr Mahathir yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut dengan tarian singa dan persembahan kebudayaan sebelum menyertai tetamu kehormat lain ke meja makan untuk upacara menggaul Yee Sang.
Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau dan barisan tertinggi Parti Gerakan.
Sementara itu, Dominic Lau menyifatkan kehadiran Dr Mahathir sebagai satu signifikan besar kepada parti yang sememangnya menjadi satu tradisi menjemput Perdana Menteri ke Majlis Rumah Terbuka setiap tahun dan ia tidak bertentangan dengan prinsip Gerakan.
"Gerakan masih mengekalkan kuasa ketiga dalam arena politik negara bagaimanapun apa yang lebih penting adalah idealogi parti itu sendiri.
"Kami kekal memperjuangkan keadilan untuk semua bangsa Malaysia tanpa memihak kepada mana-mana kaum dan juga agama ke arah negara yang lebih sejahtera pada masa akan datang,” katanya.
Beliau kata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung Gerakan Liang, Teck Meng yang tidak berpuas hati dengan jemputan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina parti itu di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Dominic Lau turut mengakui idealogi dibawa Gerakan itu juga turut di sokong Dr Mahathir yang membawa pendekatan bukan perkauman dalam memperjuangkan negara sebagai prinsip asas parti.
"Jadi kita sebagai rakyat Malaysia perlu terus bekerja sama demi kesejahteraan dan kemakmuran negara pada masa akan datang,” katanya.