SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot kerana membawa lebihan penumpang pada sekitar 1 tengah hari di 0.3 batu nautika selatan Tanjung Harapan, dekat sini, pada Ahad.
Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berkata, bot penumpang itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam.
"Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 45 orang penumpang yang melebihi had dibenarkan dan tidak memakai jaket keselamatan. Bot tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru, masing-masing warga tempatan berusia 19 dan 40 tahun.
Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan iaitu 11 orang dan tidak memakai jaket keselamatan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!