MOSCOW - Seorang wanita kecewa akibat kecuaian dilakukan petugas bagasi Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow, Rusia sehingga menyebabkan dua kucingnya mati di sini, Selasa lalu.
Pemilik haiwan tersebut, Maksim Chumachenko berkata, dua kucing miliknya itu mati ketika ingin melakukan pertukaran penerbangan di Rusia untuk menuju ke destinasi percutiannya di Bulgaria.
Menurutnya, kucing terakhirnya yang masih hidup juga telah mati akibat radang dingin disebabkan kesemua sangkar kucing miliknya telah rosak akibat kecuaian petugas bagasi, lapor Daily Star yang memetik sumber.
"Saya terkejut melihat sangkar kucing saya telah rosak dan saya amat terkejut dengan tindakan yang telah dilakukan oleh pekerja yang menguruskan sangkar ini.
"Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan saya mahu syarikat penerbangan mengenal pasti siapa orangnya supaya saya boleh kenakan tindakan saman terhadap individu itu,” katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan kebangsaan Rusia, Aeroflot berkata, pihak pengurusan bagasi Lapangan Terbang Sheremetyevo perlu bertanggungjawab atas kejadian ini.
Menurutnya, pihaknya juga meminta pihak polis menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden tersebut yang disifatkan sebagai satu perbuatan kejam.
"Kejadian tersebut telah tular di media sosial dan ramai yang telah mengecam dengan apa yang telah berlaku terhadap kucing-kucing itu dan netizen mengharapkan siasatan dijalankan dengan segera agar mereka yang bersalah dapat dikenakan tindakan undang-undang.
"Kisah yang mengerikan itu juga telah mendapat respon daripada Ahli Jawatankuasa Alam Sekitar Parlimen Rusia meminta Menteri Dalam Negeri memulakan siasatan bagi insiden tersebut,” katanya.