Ammar Titan belajar dari kesilapan

Iklan
Walaupun melalui kehidupan sukar, Ammar berkata kontroversi yang berlaku menjadikan dia lebih matang dan peka.

PELAKON dan pengacara, Azizul Ammar atau lebih dikenali sebagai Ammar Titan tidak menafikan kontroversi yang berlaku tujuh tahun lalu telah menjejaskan nama dan kariernya.

Bukan itu sahaja, ketika berada di titik terbawah dalam kariernya, dia mengenali siapa rakan sebenar dan rakan yang bersamanya hanya kerana kepentingan tertentu.

Iklan
Iklan

"Tidak dinafikan tawaran kerja memang berkurangan tetapi saya sedar, inilah perniagaan industri seni.

"Bagi diri saya, saya tidak mahu berada di atas terlalu tinggi, sebab nanti bila jatuh sakit. Bagi saya apa yang penting adalah untuk kekal relevan dan bertahan dalam industri.

Iklan

"Dari sudut kehidupan, saya dapat mengenal siapa kawan sebenar dan ALLAH SWT akan buang orang yang tak perlu ada dengan kita," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Siapa Buka Lampu? di TGV Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini.

Ammar bersama barisan pelakon dan penulis skrip Siapa Buka Lampu?

Tambah Ammar atau nama lengkapnya Azizul Ammar Abu Hassan, 37, kontroversi yang berlaku juga menjadikan dia seorang yang lebih peka dan matang dalam mengharungi sepak terajang dunia seni.

Iklan

Malah ia telah memberi pengajaran setimpal buat dirinya untuk tidak mudah mempercayai orang lain.

"Saya tidak tuju kepada sesiapa, apa yang berlaku bukan hanya melibatkan kawan dalam industri, tetapi ada juga kawan yang kenal dari sekolah.

"Contohnya kalau dulu selalu ajak main badminton sama-sama, tetapi bila saya hubungi, beri macam-macam alasan.

"Kontroversi ini jadikan saya seorang manusia yang lebih peka, matang dan dan pada akhirnya, kita perlu jaga diri sendiri," ujarnya.

Terdahulu, Ammar telah mempersendakan nama bapa pelari pecut negara, Watson Nyambek dalam sebuah program hiburan.

Rentetan insiden itu, Watson telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Ammar dan penerbit program berkenaan.

Bagaimanapun Mahkamah Majistret Sibu membebas serta melepaskan Ammar serta penerbit berkenaan selepas mendapati pihak pendakwa raya gagal membukti kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh pada akhir perbicaraan kes.

Sementara itu, ditanya perkembangannya kini, Ammar berkata, selain mencari rezeki sebagai ejen insurans, dia juga menerima apa sahaja tawaran berlakon dengan bayaran setimpal.

Katanya, sekiranya rindu untuk berlakon, dia akan menghubungi mana-mana penerbit atau pengarah bertanyakan peluang kerja.

"Ada yang kata saya 'sangkak' kerja, terdesak sampai hubungi penerbit dan pengarah. Bukan 'sangkak', tetapi saya mahu cari rezeki. Dalam masa sama, bila dah lama tak berlakon, ada rasa gian.

"Jika saya tak berlakon, saya buat kerja insurans. Tak kisahlah orang nak cakap apa kerana pada akhirnya saya yang perlu bayar segala bil bukannya orang lain.

"Walaupun tak mudah, saya gembira dapat membantu orang ramai mengatur kewangan demi masa depan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!