Kaji dua faktor utama kekalahan PH di Sungai Bakap

Iklan
Sudah tiba masanya SPR teroka kaedah baharu seperti undi secara dalam talian sebagai usaha menarik orang mengundi berbanding kaedah tradisional secara fizikal. - Gambar hiasan, gambar kecil: Ahmad Zaharuddin Sani

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) harus mengkaji dua faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, faktor utama ialah pengundi tidak keluar mengundi selain kegagalan pemimpin Kerajaan Perpaduan menangani naratif dimainkan pembangkang dalam isu-isu membabitkan kepentingan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kajian terbabit amat penting kerana PH sudah kehilangan deposit tetap mereka di kawasan tersebut yang diterjemahkan kepada undi protes.

"Status quo itu menyebabkan kerajaan juga tidak berubah, kawasan Sungai Bakap pun tidak berubah kerana Parlimen masih lagi diwakili PH (Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek).

Iklan

"Jadi faktor tidak mengubah kerajaan, tidak merubah apa-apa mungkin menyebabkan orang tidak keluar mengundi,” katanya pada Isnin.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, peratusan keluar mengundi yang menyaksikan pengundi Melayu 70 peratus, diikuti India (53 peratus) dan pengundi Cina sebanyak 43 peratus menjadi tamparan hebat kepada PH kerana deposit tetap mereka terutama bukan Melayu bertindak protes dengan tidak keluar mengundi.

Iklan

"Berlaku sedikit peralihan dalam undi Melayu daripada Perikatan Nasional (PN) kepada PH. Undi Melayu yang diperolehi calon PN, Abidin Ismail kurang atau lebih kurang sama undi diperolehi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

"Jadi nak kata PN mendapat undi besar sangat pun tak juga. Apa yang berlaku lebih kepada undi protes oleh penyokong PH sendiri,” ujarnya.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu berkata, PH seharusnya lebih berhati-hati pada masa akan datang terutama dalam menangani naratif yang sebahagian besar gagal dijawab oleh mereka.

"Suara-suara resah rakyat terutamanya pengundi PH sendiri harus diberikan perhatian. Harus diingat ketika PRK Kuala Kubu Bharu diumumkan perkara yang positif, iaitu kenaikan gaji penjawat awam.

"Apabila mengumumkan sesuatu yang kurang popular seperti kenaikan diesel dan isu terbabit gagal dijawab oleh pelaksana. Ditambah pula dengan naratif dimainkan PN seperti subsidi bersasar gagal dijawab oleh PH, ia beri kesan besar walaupun ia perkara yang baik.

"Jadi yang paling penting sekarang ialah siapa yang harus menjawab naratif berkenaan. Adakah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan Jabatan Penerangan tidak memainkan peranan dengan baik,” soalnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, PH harus lebih kreatif dalam menangani isu naratif agar sampai kepada golongan sasar.

"Apa kaedah naratif yang boleh difahami rakyat? Ini yang gagal sebenarnya. Mungkin rakyat lebih mudah memahami menerusi penyampaian lagu, sinetron drama atau video pendek, carilah pendekatan yang boleh menjadikan rakyat faham,” jelasnya.

Menurutnya, PN pula sudah tentu akan menjadikan kemenangan di Sungai Bakap sebagai satu motivasi terhadap enam lagi PRK yang dijangka akan berlaku, sekiranya diisytiharkan kekosongan.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin Sani mengulangi pendirian agar kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penambahbaikan dalam kaedah pengundian.

"Gunakan manfaat teknologi kecerdasan buatan (AI), kita tak perlu berbelanja besar untuk PRK lagi. Sudah tiba masanya teroka kaedah baharu seperti undi secara dalam talian sebagai usaha menarik orang mengundi. Tidak perlu lagi kaedah tradisional secara fizikal.

"Apa yang penting ialah pungutan suara di kawasan terlibat. Jika mahu suara itu didengari, kita harus fikirkan kaedah lebih berkesan supaya ramai mengundi,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!