JOHOR BAHRU - Sindiket yang membawa, membekal dan menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran didalangi warga Pakistan berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sindiket didalangi tiga warga Pakistan berusia 28 hingga 50 tahun itu, dilumpuhkan dalam Op Sita di sebuah premis pejabat di Permas Jaya di sini, pada jam 2 petang, Khamis lalu.
Menurut beliau, Op Sita dijalankan hasil risikan selama enam bulan setelah menerima aduan dari orang awam mengenai aktiviti warga asing yang mendalangi kegiatan tersebut.
"Suspek utama berusia 28 tahun mendakwa mempunyai dua orang isteri warganegara Malaysia. Siasatan awal mendapati syarikat telah didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan yang dipercayai merupakan isteri kedua suspek. Syarikat tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama.
"Kedua-dua lelaki warganegara Pakistan mengaku telah membayar sejumlah RM7,000 untuk memperolehi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan salah seorang mereka turut mengaku suspek utama adalah majikannya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, sindiket dipercayai membawa, membekalkan dan menggaji pekerja asing secara tidak teratur dan tanpa kebenaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (tanpa Lesen C).
Jelasnya, semasa penggeledahan dilakukan beberapa paspot dan pas lawatan kerja sementara turut ditemui.
"Sebanyak 35 keping pasport Pakistan, (2) India, (1)Bangladesh, (1) Indonesia dan sekeping pasport Myanmar ditemui.
"Selain itu, beberapa fail bukti pembayaran gaji, tawaran kerja, perjanjian membekalkan pekerja dan rekod salinan pasport serta pas lawatan kerja kementara turut dijumpai," ujarnya.
Beliau memberitahu suspek utama warganegara Pakistan didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966 (Akta 150) dan Seksyen 6(1)(c).
Manakala dua lagi suspek warganegara Pakistan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen kerana bersubahat.
"JIM Johor menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!