Mamat Exist lega dua kes dadah sudah selesai

Iklan
Mamat (kiri) selepas selesai prosiding pertuduhan kes memasukkan dan memiliki dadah di Mahkamah Johor Bahru pada Isnin.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bekas vokalis Exist, Mamat mengakui kini boleh menarik nafas lega selepas dua kes dadah yang menghantuinya sebelum ini sudah pun selesai di mahkamah pada Isnin.

Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, berkata, apa yang perlu dilakukan selepas ini adalah memandang ke hadapan menjalani hidup baharu.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, lapang dada saya selepas selesai semua masalah ini. Syukur kepada ALLAH SWT dan keluarga yang banyak membantu dan memberi sokongan, ia memberi kesabaran buat saya ketika berada di dalam (penjara).

"Tidak lupa juga kepada peminat-peminat yang mendoakan yang terbaik untuk saya, tunggu saya untuk membuat kemunculan selepas ini," katanya ditemui pemberita di pekarangan mahkamah pada Isnin.

Iklan

Terdahulu Mamat mengaku bersalah atas kesalahan memasukkan dadah dalam badan di Mahkamah Seksyen di sini dan kesalahan memiliki dadah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Penyanyi itu membayar denda RM5,000 bagi kedua-dua kesalahan tersebut yang dilakukan pada 2019 dan selepas ini diperintahkan mahkamah untuk menjalani pemulihan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Bentong Pahang.

Iklan

Mamat berkata, sepanjang berada di dalam penjara banyak pengalaman dilalui yang mengajarnya untuk mensyukuri kehidupan insan-insan yang berada di sekelilingnya.

Mamat (kiri) memeluk abangnya, Mehmood selepas selesai pertuduhan kes memiliki dadah di Mahkamah Johor Bahru pada Isnin.

Katanya, pengalaman di sebalik jeriji besi itu berjaya membuka matanya untuk berubah dan berazam tidak mahu lagi mengambil dadah.

"Banyak pengalaman yang dipelajari ketika berada di dalam, di situ saya kenal siapa kawan, siapa lawan saya. Pengalaman ini tidak akan saya lupakan.

"Pengajaran yang paling penting ialah untuk tidak lagi melakukan kesilapan yang sama sebelum ini, insya-ALLAH," katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Rahsia Pohon Cemara' itu juga menyatakan hasratnya untuk kembali ke dunia seni selepas ini.

"Tak adalah rindu sangat (kembali menyanyi), tapi kalau ada rasa kepingin, insya-ALLAH saya akan cuba," katanya.

Sementara itu, abang Mamat, Mehmood, 56, berharap Mamat yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu akan dapat berubah selepas ini.

"Harap Mamat ada semangat untuk pulih sepenuhnya bagi diri sendiri dan keluarga," katanya yang tinggal di Kampung Pasir Putih, Tampoi di sini.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Hafizi Harun berkata, Mamat akan menjalani proses perubatan dan rawatan pemulihan di Pengasih, Bentong selama dua tahun.

"Pada enam bulan pertama dia akan fokus semua aktiviti rawatan dan tiada sebarang persembahan akan dibenarkan," katanya.

Selepas enam bulan pertama kata Hafizi, pihaknya akan melihat perkembangan Mamat sebelum memutuskan untuk dibenarkan membuat persembahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!