Guru besar prihatin, bantu murid dari berhenti sekolah

Iklan
LZS juga memaklumkan telah turun padang menziarahi murid terbabit di sekolah

SHAH ALAM - Akibat desakan hidup, seorang ibu dari Puchong mengambil keputusan menghentikan persekolahan anaknya apabila tidak mampu untuk membayar tunggakan yuran.

Perkara itu dinyatakan wanita terbabit kepada guru besar sekolah anaknya, namun guru besar prihatin itu mengambil keputusan memaklumkan perkara itu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Iklan
Iklan

LZS kemudiannya membuat semakan dan mendapati keluarga tersebut merupakan asnaf fakir berdaftar di Zakat Selangor dan mereka turut menerima bantuan keperluan sekolah, kewangan dan sewa rumah.

"Pihak Zakat Selangor serta guru besar telah menziarahi penama yang tinggal di Puchong. Hasil dari ziarah, kami mendapati bahawa ibu kepada anak ini tidak mampu membayar tunggakan yuran di sekolah yang banyak,” menurut LZS dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Iklan
Pihak Zakat Selangor serta guru besar ketika menziarahi keluarga terbabit yang tinggal di Puchong.

Sehubungan itu, setelah menerima nasihat dan menjalankan perbincangan bersama, LZS menyatakan bahawa pihaknya akan membantu untuk menyelesaikan tunggakan yuran murid tersebut.

"Ibu kepada anak ini boleh teruskan semula sesi persekolahan anaknya, Insya-ALLAH,” ujarnya.

Iklan

LZS turut memaklumkan bahawa mereka telah turun padang menziarahi murid itu di sekolah sejurus dimaklumkan oleh guru besar bahawa murid terbabit telah hadir ke sekolah.

"Zakat Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengeluar zakat kerana membantu anak ini untuk bersekolah semula.

"Andalah hero asnaf. Tanpa anda anak-anak asnaf mungkin tidak ke sekolah,” ujar LZS dalam hantaran sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!