Isu pencemaran: Industri, penduduk perlu sesi libat urus

Iklan
Nik Nazmi (kanan) melawat kilang penapisan minyak mentah di Port Dickson yang didakwa menyebabkan pencemaran.

PORT DICKSON - Pihak industri diminta mengambil tindakan lebih proaktif dengan sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan penduduk terutama apabila timbulnya isu berkaitan pencemaran.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bagi memberi lebih keyakinan kepada penduduk terutama yang tinggal di kawasan berhampiran berhubung sebarang masalah yang timbul akan dapat diatasi.

Iklan
Iklan

"Kalau dulu banyak industri terletak jauh dengan tempat tinggal, tapi sekarang penduduk dah makin ramai dan semakin dekat dengan industri.

"Jadi perlu lebih banyak tindakan proaktif dan libat urus antara pihak industri dan penduduk supaya dapat yakinkan mereka kerana kadang-kadang perkara ini(pencemaran berlaku) sangat teknikal,"katanya

Iklan

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas melawat sebuah kilang penapisan minyak mentah di sini pada Ahad.

Ia susulan aduan pelepasan asap hitam yang mengundang masalah pencemaran sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan perumahan berhampiran baru-baru ini.

Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tambah Nik Nazmi, pematuhan undang-undang dan peraturan ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling(AKAS) 1974 adalah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh industri dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan.

Pada masa sama katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan sentiasa melakukan pemantauan 24 jam melalui sistem pemantauan pelepasan berterusan (CEMS) terhadap sebarang pelepasan di udara.

Sementara itu berkenaan pencemaran berlaku, Nik Nazmi berkata, ia bukanlah isu pencemaran yang disengajakan oleh pihak kilang, sebaliknya insiden kebocoran pada tiub dandang di premis.

"Pemantauan mendapati premis masih dalam proses startup dan penstabilan untuk beroperasi semula setelah tindakan pembaikan ke atas unit dandang selesai.

"Pelepasan asap hitam didapati berpunca daripada pembakaran gas yang tidak sempurna semasa proses penstabilan di unit flare," katanya.

Jelasnya, bagi tujuan keselamatan, unit flare di dalam proses penapisan minyak mentah digunakan untuk membakar gas yang bertekanan tinggi di dalam sistem loji.

Tambahnya, ia bagi mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk seperti kebakaran atau potensi letupan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!