Pas mahu bawa gelombang kemenangan Sungai Bakap ke Nenggiri

Iklan
Mohamed Fadzli

KOTA BHARU - Pas Kelantan mahu membawa gelombang kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, 17 Ogos ini.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kemenangan diraih Abidin Ismail dengan majoriti 4,267 itu satu perkembangan yang sangat baik yang dijangka menular ke PRK seterusnya.

Iklan
Iklan

"Kami nak kekalkan gelombang itu untuk Nenggiri dan juga PRK lain yang kita jangka berlaku tak lama lagi.

"Jika dibandingkan dengan pilihan raya negeri yang lepas, momentum itu bukan sahaja kekal tetapi semakin meningkat dan paling menggembirakan apabila kami mendapat sokongan undi masyarakat bukan Melayu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penutup Simposium Mineral Strategik Unsur Nadir Bumi Kelantan 2024 di Tunjong di sini, pada Isnin.

Iklan
Mohamed Fadzli (dua dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada pembentang Simposium Mineral Strategik Unsur Nadir Bumi Kelantan 2024.

Menurut Mohamed Fadzli, sebelum ini, undi daripada bukan Melayu iaitu Cina dan India boleh dikatakan terlalu sedikit sekitar satu hingga dua peratus sahaja tetapi meningkat di PRK Sungai Bakap.

"Kami semakin mendapat sokongan bukan Melayu dan pengundi India juga meningkat.

Iklan

"Pengundi bukan Melayu terutamanya Cina walaupun mereka tidak memberikan sokongan kepada PN, tetapi mereka menunjukkan kekecewaan kepada Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Madani dengan cara tidak keluar mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, merujuk kepada Nenggiri yang dilihat mempunyai pengundi daripada kalangan Orang Asli, Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan komuniti itu.

Kata beliau, sokongan Orang Asli lebih kepada Barisan Nasional (BN) sebelum ini turut dijangka beralih kepada PN hasil gerak kerja yang dilakukan pihaknya.

"Kami ada kelebihan di Nenggiri kerana kami adalah kerajaan negeri.

"Kerja-kerja menjaga kebajikan terutama kepada Orang Asli di Nenggiri itu sudah lama dilakukan dan bukanlah pembangkang yang baru nak mulakan kerja setiap kali pilihan raya,” katanya.

Pada PRK DUN Sungai Bakap Sabtu lepas, Abidin mengekalkan penguasaan PN di kerusi berkenaan dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada PH, Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.