45 terperangkap akibat kepala air

Iklan
Anggota bomba membantu mangsa menyeberangi sungai selepas jambatan rosak akibat kepala air di Kampung Longob, Kota Marudu pada Isnin.

KOTA MARUDU - Kemeriahan pertandingan memancing di sebuah kolam ikan bertukar cemas apabila seramai 45 individu termasuk tujuh kanak-kanak terperangkap di seberang sungai akibat kejadian kepala air di Kampung Longob, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.11 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 14 kilometer dari BBP Kota Marudu.

Iklan

"Terdapat 45 mangsa terdiri daripada 23 lelaki dan 15 wanita dewasa bersama tujuh kanak-kanak berada di seberang sungai dan sedang menjalankan aktiviti pertandingan memancing di sebuah kolam berhampiran.

"Bagaimanapun, mereka terperangkap apabila berlakunya kepala air dan menyebabkan jambatan di sungai tersebut rosak dibawa arus deras," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

Mohd Hasbi berkata, pasukan bomba menggunakan tali dan tangga bagi membantu semua mangsa menyeberangi sungai tersebut.

"Kesemua mereka berjaya diselamatkan dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini," katanya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 6.47 petang selepas pihaknya memastikan keadaan selamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!