Wanita jatuh gaung ketika turun puncak Gunung Korbu

Iklan
Keadaan mangsa yang terjatuh ke dalam gaung ketika menuruni puncak Gunung Korbu pada Isnin. Foto JBPM Perak.

IPOH - Seorang wanita terjatuh ke dalam gaung setinggi 10 meter selepas tergelincir semasa menuruni puncak Gunung Korbu di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.29 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun tiba di tapak mula pendakian berhampiran Empangan Sultan Azlan Shah, Hulu Kinta 10 minit kemudian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi menyelamat digerakkan 12 anggota BBP Tambun dan turut dibantu oleh Malim Gunung Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

"Mangsa melibatkan seorang wanita berumur 35 tahun dengan berat badan 90 kilogram telah tergelincir dan jatuh ke dalam gaung anggaran setinggi 10 meter semasa menuruni puncak Gunung Korbu.

Iklan

"Jarak masa pendakian ke lokasi mangsa dianggarkan enam jam dan anggaran tempoh masa yang lebih lama diperlukan bagi membawa turun mangsa menggunakan teknik usungan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sabarodzi berkata, ketika ini pasukan penyelamat masih belum tiba di lokasi mangsa dan difahamkan wanita terbabit mengalami kecederaan pada bahagian tulang rusuk.

Iklan

Jelasnya, kesukaran dialami pasukan penyelamat memandangkan pendakian dilakukan waktu gelap dan di kawasan lereng.

Lokasi dan jarak ketinggian dipercayai mangsa tergelincir di Gunung Korbu pada Isnin. Foto JBPM Perak.

Selain itu katanya, pasukan menyelamat yang membawa peralatan menyelamat juga perlu menempuh anak sungai selain jalan licin disebabkan hujan.

Menurut Sabarodzi, wanita terbabit merupakan salah seorang daripada 35 peserta yang mengikuti aktiviti pendakian di gunung berkenaan.

"Berdasarkan maklumat awal yang diterima, peserta lain telah dibawa keluar dari lokasi dengan ditemani malim gunung.

"Bagaimanapun malim gunung kemudian masuk semula untuk membantu pasukan menyelamat," katanya.

Beliau berkata, setakat ini difahamkan mangsa tidak mengalami kecederaan serius berdasarkan maklumat daripada seorang doktor yang menyertai ekspedisi pendakian tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!