Penolong pegawai perubatan maut ambulans langgar treler

Iklan
Keadaan ambulans yang melanggar belakang treler sehingga menyebabkan seorang penolong pegawai perubatan maut di tempat kejadian.

TAPAH - Seorang penolong pegawai perubatan maut selepas ambulans yang dinaiki melanggar belakang sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 330.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara di sini, pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati ambulans yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun bersama seorang wanita yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 30 tahun melanggar bahagian belakang sebuah treler yang dipandu di laluan sebelah kiri.

"Akibat kemalangan tersebut, penolong pegawai perubatan ambulans yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, mangsa yang berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kemudian dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat.

Sementara itu katanya, pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan.

Justeru itu pihak polis meminta orang awam yang telah menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 013-2087919 untuk membantu dalam siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!