Agensi Makanan Singapura benarkan serangga tertentu sebagai makanan manusia

Iklan
Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Isnin telah meluluskan 16 spesies serangga untuk makanan manusia termasuk serangga tertentu seperti cengkerik, belalang juta, belalang, 'mealworm', ulat sutera, dan lebah madu. Gambar hiasan

SINGAPURA - Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Isnin telah meluluskan 16 spesies serangga untuk makanan manusia termasuk serangga tertentu seperti cengkerik, belalang juta, belalang, 'mealworm', ulat sutera, dan lebah madu.

"Dengan serta-merta, SFA akan membenarkan import serangga dan produk serangga yang berasal daripada spesies yang telah dinilai mempunyai kebimbangan peraturan yang rendah.

Iklan
Iklan

"Serangga dan produk serangga ini boleh digunakan sebagai makanan manusia atau sebagai makanan haiwan untuk haiwan pengeluaran makanan,” kata SFA dalam pekeliling kepada peniaga pada Isnin.

Sementara itu, rangka kerja peraturan serangga yang dimuat naik di laman sesawangnya pada hari yang sama, meletakkan garis panduan untuk serangga yang diluluskan sebagai makanan di Singapura.

Iklan

Rangka kerja itu merangkumi garis panduan yang harus dipatuhi oleh perniagaan jika mereka berhasrat untuk mengimport, menternak atau memproses serangga menjadi makanan manusia atau makanan haiwan.

SFA berkata, serangga dalam senarai berkenaan mempunyai sejarah sebagai makanan manusia.

Iklan

Serangga lain yang tidak tersenarai perlu menjalani penilaian oleh agensi itu sebelum boleh dijadikan sebagai makanan manusia.

Garis panduan ini dibangunkan selepas kajian saintifik menyeluruh dengan merujuk kepada negara dan wilayah yang telah membenarkan penggunaan serangga tertentu sebagai makanan termasuk Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Thailand.

"Pada masa ini, tiada piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Codex Alimentarius atau Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia untuk penjualan dan penggunaan serangga sebagai makanan atau makanan haiwan,” katanya.

Syarikat yang menjual makanan prabungkus, termasuk yang mengandungi serangga sebagai ramuan, dikehendaki melabel pembungkusan produk untuk menunjukkan sifat sebenar produk itu.

Sama seperti makanan lain yang tersedia di pasaran, produk serangga tertakluk kepada pemeriksaan dan pengawasan SFA, yang termasuk pensampelan untuk ujian keselamatan makanan.

"Makanan yang didapati tidak mematuhi peraturan keselamatan makanan SFA tidak akan dibenarkan dijual,” katanya.

Kali pertama SFA mengadakan rundingan awam mengenai peraturan serangga dan produk serangga pada tahun 2022. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!