Pembuli rasa diri berkuasa punca jenayah buli siber

Iklan
Tiada nilai empati yang tinggi, berasa diri berkuasa sehingga berhak mencampuri urusan orang lain dan pengaruh rakan sebaya antara punca berlakunya jenayah buli siber. Gambar hiasan 123rf. Gambar kecil: Fauziah

SHAH ALAM - Tiada nilai empati yang tinggi, berasa diri berkuasa sehingga berhak mencampuri urusan orang lain dan pengaruh rakan sebaya antara punca berlakunya jenayah buli siber.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, segelintir pelaku berasa berhak untuk melontarkan pandangan di media sosial dan sewenang-wenangnya melampiaskan amarah kepada orang lain walaupun menggunakan akaun tanpa nama.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ia juga boleh dikaitkan dengan gangguan mental kerana pembuli mungkin sedang berdepan fasa emosi, kemurungan, tekanan perasaan, kegelisahan melampau dan kurang keyakinan diri.

"Menggunakan akaun tanpa mendedahkan identiti sebenar memberikan keberanian kepada pembuli tanpa rasa takut.

Iklan

"Mereka mungkin sukar berkomunikasi secara bersemuka, sebab itulah beri komen jelik di media sosial bagi menutup kelemahan dan memuaskan hati sendiri.

"Akibatnya mangsa yang sakit hati, bukannya pembuli,” katanya.

Iklan
Muka depan Sinar Harian pada Selasa.

Sehubungan itu Fauziah berkata, cara untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa buli siber adalah dengan menetapkan privasi dan tidak berkongsi perihal peribadi secara berlebihan.

"Malah mangsa boleh lapor dan sekat individu yang berpotensi mengganggu kehidupan bagi menjaga kesejahteraan mental sendiri.

"Dapatkan sokongan atau berbincang dengan keluarga, rakan dan kaunselor. Jangan pendam. Ketahui tentang bahaya buli siber dan cara menanganinya melalui pendidikan atau kempen kesedaran.

"Langkah ini boleh bantu lindungi diri daripada jadi mangsa buli siber dan mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat,” ujarnya.