MANCHESTER United dilaporkan akan menjual lapan pemain termasuk penyerang, Mason Greenwood dan pemain tengahnya, Donny van de Beek.
Sebelum ini, United menyatakan kesediaan untuk menjual pemainnya sekiranya menerima tawaran yang sesuai.
Kelab itu juga telah berada dalam jendela perpindahan dengan bajet sederhana sekitar £50 juta (RM301 juta) yang boleh meningkat dengan jualan daripada lapan pemain itu.
Memetik laporan Mirror Football, Mason Greenwood hampir meninggalkan kelab itu dan dilaporkan akan menyertai Marseille.
Van de Beek, yang menyertai kelab itu dalam perjanjian £35 juta (RM211 juta) pada 2020, juga bersedia untuk menyertai Girona dengan perbincangan di peringkat akhir.
Jadon Sancho, yang menghabiskan separuh musim lalu secara pinjaman di Borussia Dortmund selepas pertengkaran dengan Erik ten Hag juga dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus.
Selain itu, tonggak pertahanan Victor Lindelof serta Aaron Wan-Bissaka dipantau oleh Galatasaray dan West Ham.
Facundo Pellistri yang sebelum ini dipinjamkan ke Granada musim lalu juga dikaitkan perpindahan ke Real Valladolid.
Bekas pemain tengah Real Madrid, Casemiro juga berpotensi untuk dijual kepada kelab Liga Pro Saudi dengan United dilaporkan enggan membayar gaji tinggi pemain itu sekitar £375,000 (RM2.2 juta) seminggu manakala Scott McTominay pula menjadi sasaran Fulham dan Everton.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!