Kes HIV di universiti 'bendera merah', turunkan had usia saringan 16 tahun

Iklan
Kerajaan disaran menurunkan had usia saringan HIV dari 18 tahun kepada 16 tahun bagi memberi ruang pengesanan dan rawatan awal susulan peningkatan kes jangkitan virus itu dalam kalangan pelajar universiti.(Gambar hiasan) Foto 123rf

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menurunkan had usia saringan HIV dari 18 tahun kepada 16 tahun bagi memberi ruang pengesanan dan rawatan awal susulan peningkatan kes jangkitan virus itu dalam kalangan pelajar universiti.

Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Dr Dinesh Mahalingam berkata, cadangan tersebut akan meningkatkan kualiti kesihatan dan menangani realiti generasi muda yang semakin terkesan dengan epidemik HIV.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah berkenaan dapat mendidik pelajar mengenai aspek kesihatan seksual selari dengan trend global yang menggalakkan umur ujian lebih rendah.

"Adalah penting untuk diakui bahawa peningkatan kes HIV bukan hanya terhad kepada pelajar universiti dan kolej.

Iklan

"Malaysia sedang menyaksikan peningkatan ketara penularan HIV secara seksual, yang kebanyakannya memberi kesan kepada golongan muda.

"Ini menekankan keperluan untuk intervensi yang menyeluruh tersasar dan berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan bersama Yayasan AIDS Malaysia (MAF) pada Selasa.

Iklan

Kementerian Pengajian Tinggi di Parlimen minggu lepas mendedahkan peningkatan membimbangkan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar berumur 18 hingga 25 tahun di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, seramai 214 pelajar dari institusi awam dan swasta dilaporkan menghidap HIV pada 2020 diikuti 186 kes (2021), 221 kes (2022) dan 244 kes (2023).

Ujar Dinesh, akses kepada perkhidmatan HIV yang kritikal melalui model jangkauan unik menggunakan pekerja kesihatan komuniti (PKK) dipertingkatkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, kumpulan pekerja itu memainkan peranan penting menghubungkan individu berisiko termasuk pelajar muda kepada perkhidmatan berimpak tinggi seperti Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) dan ujian HIV kendiri.

"Di sebalik kejayaan besar yang dicapai dalam bidang sains perubatan seperti penemuan PrEP yang berupaya mengurangkan risiko jangkitan HIV secara seksual sehingga 99 peratus, stigma tetap kekal sebagai halangan terbesar.

"Stigma yang masih menebal dalam kalangan golongan muda dan pelajar universiti mungkin menyebabkan mereka berasa ragu-ragu untuk mendapatkan perkhidmatan atau sokongan, meskipun ketika terdedah kepada risiko HIV.

"Oleh sebab itu, semua usaha jangkauan MAC dan MAF tertumpu pada usaha mengurangkan stigma HIV dan menggalakkan ujian dalam kalangan golongan muda untuk mengetahui status HIV mereka,” katanya lagi.

Tambah beliau, bagi mereka yang hidup dengan HIV, rawatan segera penting kerana membantu merendahkan muatan virus di dalam ke tahap tidak dapat dikesan sekali gus mencegah penularan.

Ujarnya, untuk golongan yang berisiko, PrEP bersama dengan amalan seks selamat seperti penggunaan kondom adalah signifikan mengurangkan risiko penularan.

Menurut Pengarah Eksekutif MAF dan MAC, Jasmin Jalil, situasi terkini tentang peningkatan kes HIV di kampus tempatan merupakan bendera merah yang menunjukkan keperluan kritikal untuk mendidik golongan muda mengenai pencegahan HIV dan mengurangkan stigma.

"Dari aspek pendidikan pihaknya menyokong perlaksanaan Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja (Prostar) yang baru sahaja diperbaharui di kampus institusi pendidikan tempatan.

"Berpandukan pada modul yang dibangunkan oleh pakar-pakar yang bertauliah, Prostar 2.0 akan digerakkan oleh pembimbing rakan sebaya (PRS) selari dengan slogan Oleh Remaja, Melalui Remaja, Untuk Remaja.

"Kami mempunyai rancangan besar untuk melancarkan program berasaskan kampus di seluruh negara pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!