Tiga termasuk bapa, anak lelaki didakwa rogol kanak-kanak 12 tahun

Iklan
Bapa tiri mangsa (dua dari kanan), abang tiri mangsa (tiga dari kanan) dan rakan karib abang tiri mangsa (empat dari kanan) dikawal polis ketika tiba di Mahkamah Kota Bharu pada Selasa.

KOTA BHARU - Seorang bapa bersama anak lelakinya dan rakan anaknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas tuduhan merogol anak tirinya berusia 12 tahun di sebuah rumah di Bachok sekitar awal tahun dan Mei lalu.

Tertuduh masing-masing berusia 46 dan 22 tahun didakwa atas empat pertuduhan secara berasingan di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah, bagaimanapun kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Iklan
Iklan

Mengikut dua pertuduhan melibatkan tertuduh pertama berusia 46 tahun, dia yang mempunyai hubungan tidak dibenarkan undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dan mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu, didakwa merogol mangsa sekitar awal tahun serta antara 18 hingga 22 Mei lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].

Iklan

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan.

Seorang bapa (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Selasa, atas tuduhan merogol anak tirinya berusia 12 tahun di sebuah rumah di Bachok sekitar awal tahun dan Mei lalu.

Bagi pertuduhan ke atas abang tiri mangsa, tertuduh didakwa merogol mangsa di hadapan bapa dan rakan karibnya di lokasi sama sekitar awal tahun ini.

Iklan

Sementara itu, rakan kepada abang tiri mangsa pula didakwa merogol kanak-kanak itu di hadapan bapa tiri dan abang tiri mangsa juga di lokasi sama sekitar awal tahun ini.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].

Mereka berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala bapa tiri dan abang tiri mangsa diwakili peguam, Nur Sarah Syamimi Safie,

Seorang lagi tertuduh diwakili peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Sebelum itu, kesemua tertuduh merayu dibenarkan jaminan dan berjanji tidak akan mengganggu mangsa, bagaimanapun Ahmad Faiz membantah keras permohonan itu dengan alasan pertuduhan yang dihadapi sangat serius melibatkan kesalahan seksual ke atas kanak-kanak.

"Mangsa tinggal bersama dengan bapa tiri dan abang tirinya walaupun kini sudah berada di bawah jagaan kakaknya, tetapi rumah mereka berdekatan.

"Rakan karib abang tiri mangsa itu pula yang bekerja sebagai buruh kerap kali ke rumah keluarga itu,” katanya.

Mahkamah kemudiannya memutuskan dua beranak itu tidak ditawarkan jaminan, manakala seorang lagi tertuduh dibenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta menyerahkan pasport.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Ogos ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!