Keputusan permohonan Muhyiddin cabar Mahkamah Rayuan 20 Ogos depan

Iklan
Muhyiddin Yassin hadir ke Istana Kehakiman Putrajaya pada Selasa. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Ogos depan sebagai keputusan permohonan semakan kehakiman Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencabar kes rasuah RM232.5 juta yang dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai lima panel bersidang pada Selasa.

Iklan
Iklan

Azizah berkata, panel memerlukan masa kerana isu yang dibangkitkan adalah serius dan kompleks.

Turut bersidang, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali; Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim; Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Iklan

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku pemohon diwakili barisan peguam yang diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik manakala Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengetuai pasukan defendan.

Muhyiddin, 77, sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Iklan

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pemimpin Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lalu atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!