Kebuntuan politik di Perancis, Parlimen tergantung

Iklan
Orang ramai berhimpun di Place de la République di Paris selepas pengumuman keputusan pusingan kedua Pilihan Raya Parlimen tersebut. Foto Agensi

PARIS - Presiden Perancis, Emmanuel Macron bergelut untuk mengekalkan kredibiliti negara ekonomi kedua terbesar di blok Kesatuan Eropah (EU) tersebut selepas pemimpin berkenaan tersilap percaturan dengan mengadakan pilihan raya awal hingga menyebabkan kebuntuan politik.

Keputusan pusingan kedua Pilihan Raya Parlimen pada akhir minggu lalu menyaksikan parti sayap kiri, Barisan Popular Baharu (NFP) menduduki tangga teratas disusuli parti haluan sederhana, Ensemble pimpinan Macron dan Marine Le Pen yang memimpin haluan kanan, Perhimpunan Nasional (RN) berada di tempat ketiga.

Iklan
Iklan

Tetapi, tiada yang berjaya meraih majoriti mutlak 289 kerusi diperlukan selain tiada calon jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Orang ramai tetap berkumpul di ibu kota untuk meraikan keputusan tersebut meskipun negara itu sedang berdepan kemelut Parlimen tergantung, kira-kira tiga minggu sebelum temasya Olimpik berlangsung di Paris.

Iklan

Pada Isnin, Perdana Menteri, Gabriel Attal turut mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Macron, namun beliau meminta pemimpin tersebut terus berkhidmat di bawah kapasiti Perdana Menteri sementara kerana penganjuran Olimpik selain untuk meyakinkan komuniti antarabangsa dan pasaran bahawa Perancis masih mempunyai kerajaan.

Pada masa ini, komuniti antarabangsa turut memberi pelbagai reaksi terhadap perkembangan politik tidak pernah berlaku dan mengejutkan di Paris ketika Macron cuba menyembunyikan kekecewaannya.

Iklan

Rakan kongsi EU menarik nafas lega kerana parti 'Euroskeptik' Le Pen tidak akan mengambil alih kuasa kerana dikhuatiri akan membahayakan integrasi Eropah pada masa depan dan menjejaskan sokongan Barat untuk Ukraine.

Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata, beliau berharap Presiden dan ahli Parlimen yang dipilih akan berjaya menubuhkan kerajaan yang konstruktif.

Sementara itu, pemimpin Parti Sosialis, Olivier Faure memberitahu parti sekutu NFP akan memilih calon untuk menggantikan Attal sama ada melalui konsensus atau undian pada minggu ini.

Dari kiri: Jean-Luc Melencheon, Emmanuel Macron dan Marine Le Pen. Foto Agensi

Komponen terbesar NFP iaitu La France Insoumise atau France Unbowed (LFI) dipimpin Jean-Luc Melencheon pula memaklumkan mereka sudah mempunyai beberapa calon untuk memimpin kerajaan.

NFP dibarisi Sosialis, Hijau, Komunis dan LFI yang ditubuhkan pada bulan lalu selepas Macron beria-ia mahu mengadakan pilihan raya awal tidak menyangka tuah akan berpihak kepada mereka.

Kerajaan campuran

Berikutan tiada satu pun daripada tiga blok meraih majoriti, kerajaan campuran perlu ditubuhkan antara pakatan atau parti politik.

Pakara meramalkan Ensemble mungkin akan cuba membentuk gabungan bersama Sosialis dan Hijau di bawah perikatan NFP, bukannya bersama LFI yang dipimpin Melencheon.

Ketika berkempen, Macron pernah menyatakan beliau tidak akan bergabung dengan LFI yang disifatkan sebagai 'berbahaya' sama seperti parti haluan kanan di negara itu.

Isu utama yang menjadi punca perbalahan antara Macron dan blok kiri adalah mengenai skim pembaharuan pencen beliau setelah pemimpin tersebut menaikkan had umur daripada 62 kepada 64 tahun pada 2023 yang ditentang sekeras-kerasnya puak sayap berkenaan.

Persoalannya kini, bolehkan kebuntuan politik itu diselesaikan?

Bagi mencari jalan penyelesaian kepada kekusutan itu, Perkara 49.3 Perlembagaan telah diperkenalkan yang mana Perenggan Ketiga membolehkan pemerintah meluluskan rang undang-undang (RUU) segera tanpa proses undian di Perhimpunan Kebangsaan dan kuasa khusus itu dipegang oleh Perdana Menteri.

Macron pernah menggunakan Perkara 49.3 ketika penggal pertama pentadbirannya (2017-2022) dan sebanyak 11 kali ketika penggal kedua pemerintahannya.

Kali terakhir ia diguna pakai adalah ketika Macron mahu meneruskan salah satu dasar utama kontroversi beliau iaitu pembaharuan pencen pada Mac 2023.

Jika Parlimen tidak bersetuju dengan RUU itu, penggubal undang-undang boleh membentangkan undi tidak percaya dalam tempoh 24 jam yang memerlukan 289 undi untuk diluluskan.

Bagaimana pula dengan kedudukan Macron memandangkan penggal perkhidmatannya akan berakhir pada 2027.

Pada bulan lalu, beliau telah mengesahkan tidak akan meletak jawatan, namun kemenangan sayap kiri berpotensi 'melemahkan' pemimpin itu.

Beberapa pakar membuat spekulasi, Macron mungkin akan mengambil peluang daripada keputusan pilihan raya itu untuk mengadakan undi tidak percaya dan kemudiannya meletak jawatan serta mencetuskan Pilihan Raya Presiden secara mengejut. - Agensi

Info:

> Barisan Popular Baharu (NFP) memenangi kerusi terbanyak: 188 kerusi. Gabungan haluan sederhana Ensemble pimpinan Macron berada di tempat kedua: 161 kerusi manakala Perhimpunan Nasional (RN) dan sekutunya: 142 kerusi.

> Pada Pilihan Raya Parlimen 2022 pernah berdepan situasi Parlimen tergantung apabila parti Macron hanya memenangi 245 kerusi, namun beliau memperoleh sokongan tanpa bertulis daripada Parti Repulikan.

> Ketika era moden, Perancis tidak pernah berdepan situasi Parlimen tanpa parti dominan kecuali pada 1986-1988, 1993-1995, 1997-2002 apabila Presiden dan Perdana Menteri adalah daripada parti pembangkang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!