[VIDEO] Guru lelaki tak mengaku tampar, tarik rambut pelajar

Iklan

MELAKA - Seorang guru lelaki di sebuah sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa kerana menampar beberapa kali dan menarik rambut seorang pelajar lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Heirman Ishak, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Kharunnisak Hassni.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan cedera kepada seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 17 tahun dengan cara menampar muka beberapa kali dan menarik rambut.

Mohd Heirman (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik guru di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru di sini, lebih kurang jam 11.30 pagi, pada 9 Disember 2022.

Iklan

Pendakwaan bagi kes ini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Dipercayai insiden itu tercetus apabila tertuduh berang setelah mangsa dikatakan meminta kunci bilik multimedia untuk mengambil botol air yang tertinggal dalam bilik tersebut.

Mohd Heirman (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Nor Azri Mohd Arif merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh yang berpendapatan RM7,000 sebulan perlu menjaga ibu yang sakit selain terdapat anaknya yang masih belajar di institut pengajian tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes pada 22 Ogos depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!