PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan proses mahkamah pada Selasa berhubung semakan kehakiman bagi mencabar keputusan yang mengarahkan kes rasuah yang dihadapinya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pasukan peguamnya telah berhujah dengan tepat dan mengharapkan hakim akan memberi pertimbangan secara bijaksana.
"Bagi saya adalah sesuatu yang amat penting dan diharapkan dengan perjalanan sistem kehakiman berdasarkan undang-undang saya akan dapat layanan yang adil dan saksama,” katanya pada sidang akhbar di Mahkamah Putrajaya pada Selasa.
Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Ogos depan sebagai keputusan permohonan semakan kehakiman Muhyiddin untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai lima panel bersidang pada Selasa.
Ia berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan pada Februari lalu yang mengarahkan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Muhyiddin dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Pemimpin Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.