Industri buluh masih kecil, tanah kerajaan negeri jadi isu utama

Iklan
Johari ketika Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Industri buluh di negara ini masih kecil, dengan pemberian tanah oleh kerajaan negeri menjadi isu utama dalam membangunkan industri berkenaan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, kerajaan negeri sukar memberikan tanah untuk tujuan penanaman buluh sebaliknya lebih cenderung memberikan tanah bagi penanaman sawit.

Iklan
Iklan

"Sawit lebih tertarik bagi banyak kerajaan negeri berikutan ekosistem lengkap, daripada huluan, utama dan hiliran. Nilai eksport juga besar iaitu lebih RM100 bilion. Banyak produk hiliran mempunyai margin tinggi termasuk oleokimia tetapi buluh, masih lagi kelihatan kecil,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang ingin tahu sama ada kerajaan mengambil inisiatif untuk berbincang dengan kerajaan negeri bagi penanaman buluh.

Iklan

Johari berkata, Sarawak merupakan kerajaan negeri yang dilihat paling berpotensi, dengan memperuntukkan tanah berkeluasan 3,339 hektar untuk penanaman buluh.

"Tetapi kita juga ada masalah apabila kita teroka hutan ini, ia sudah masuk isu penebangan hutan dan menyebabkan litupan hutan kita akan jatuh di bawah 50 peratus. Ini tidak boleh.

Iklan

"Kadang-kadang kita jumpa pemilik tanah yang tanam getah dan sawit yang tidak boleh dikendalikan. Apabila kita minta untuk tanam buluh, mereka tidak bagi. Kita akan terus berusaha untuk meyakinkan mereka bahawa permintaan dan hasil daripada buluh ini boleh memanfaatkan negara pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, sekiranya konsep penanaman komersial dilaksanakan, ia memerlukan sekurang-kurangnya tanah seluas 2,000 hektar supaya dapat meraih pengeluaran buluh mampan sekali gus mewujudkan industri hiliran atau utama secara automatik.

"Isu tanah ini adalah kerana kita sukar nak dapat tanah. Kalau kita tengok dari segi industri sawit, kita ada 5.7 juta hektar, kalau getah ada 1.1 juta hektar, tetapi buluh setakat hari ini 4,000 hektar. Jadi, jauh perbezaan.

"Setiap kali kita nak dapatkan tanah untuk tujuan penanaman buluh komersial, sukar untuk mendapat tanah daripada kerajaan negeri, dan kita juga berdepan masalah saiz yang kita nak beri kepada pekebun kecil juga terlalu kecil, menyebabkan pengeluaran buluh di negara ini agak berkurangan,” katanya.

Menurutnya, perdagangan eksport buluh dan produk berasaskan buluh pada 2023 berjumlah RM20.1 juta berbanding RM13.7 juta pada 2022.

Beliau berkata, Malaysia masih mengimport buluh dengan nilai import sebanyak RM108 juta pada tahun lepas bagi industri hiliran seperti kraftangan iaitu 528 syarikat, industri perabot (tujuh syarikat), tekstil (tiga syarikat) dan sektor pembinaan (17 syarikat).

"Mereka ini terpaksa dibenarkan import kerana banyak kemampanan bekalan kita jauh daripada apa yang kita impikan,” katanya.

Bagi memastikan industri buluh negara terus dipertingkatkan, beliau berkata kementerian melalui Lembaga Industri Perkayuan Negara (MTIB) telah menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 sebagai hala tuju.

"Pelan tindakan ini memberi tumpuan kepada lima teras strategik pembangunan iaitu pengukuhan dasar dan perluasan sumber; peningkatan modal insan, kepakaran dan kapasiti; pengukuhan inovasi, teknologi dan R&D&C (penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan); pemerkasaan rantaian dan jaminan kualiti; dan pengukuhan strategi pemasaran dan perkongsian pintar,” katanya.

Menurut laporan TheBamboo Global Market Report 2024, industri buluh dunia bernilai AS$70.6 bilion pada 2023 dan dijangka berkembang kepada AS$97.8 bilion pada 2028, disumbangkan oleh beberapa faktor seperti aplikasi produk buluh yang pelbagai termasuk potensi buluh sebagai produk mampan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!