KUALA LUMPUR - Isu BlackRock yang didakwa ingin memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kembali memanaskan persidangan Dewan Rakyat sesi petang pada Selasa.
Kekecohan itu bermula ketika Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.
Awang ketika perbahasan mendakwa Global Infrastructure Partners (GIP) memiliki 100 peratus BlackRocks.
Kenyataan itu kemudiannya disanggah Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) dengan mendakwa ia sebagai fakta palsu dan meminta Awang menarik balik tuduhan tersebut.
"Speaker sila buat petua. (Ahli Parlimen Pendang) jangan hendak bina naratif yang kelirukan dewan, dia tipu (dan) guna fakta salah. Sila betullkan,” ujarnya.
Desakan Chuan How itu bagaimanapun tidak dilayan Awang dengan mempertahankan kenyataan yang dibuatnya.
"Saya tidak akan tarik balik,” katanya.
Keadaan bertambah panas apabila Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bangkit mencelah supaya Chuan How menghormati sesi perbahasan Awang.
Kekecohan yang berlanjut lebih lima minit itu menyebabkan Timbalan Speaker, Alice Lau beberapa kali memberi peringatan kepada ketiga-tiga ahli Parlimen yang berbalah itu.
Keadaan bagaimanapun kembali tenang dan Alice meminta Awang meneruskan perbahasan kerana masa hampir tamat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!