IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak membentangkan Usul Mengenai Enakmen atau Peraturan Baharu Berkaitan Pengawalan Haiwan-Haiwan Berkeliaran di Negeri Perak pada Selasa.
Usul tersebut dikemukakan wakil rakyat kerajaan, Koo Haai Yen (PH-Keranji) sebelum disokong Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning) dan kemudian dibahaskan seramai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Perbahasan usul tersebut melibatkan tiga ADUN kerajaan termasuklah Ishsam, Steven Tiw Tee Siang (PH-Tronoh), Wong May Ing (PH-Pantai Remis) dan tiga ADUN Pembangkang iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik), Rosli Abdul Rahman (PN-Pasir Panjang) dan Hafez Sabri (PN-Manjoi).
Lebih dua jam perbahasan tersebut berlangsung dengan penglibatan beberapa ADUN lain yang membuat pencelahan sebelum digulung.
Haai Yen ketika mengemukakan usul tersebut berkata, masalah haiwan berkeliaran terutamanya lembu dan kerbau telah berlanjutan berpuluh-puluh tahun di Perak.
"Isu ini juga telah banyak kali dibangkitkan dalam sidang DUN setiap penggal, malah kerajaan negeri juga telah mengkhususkan padang ragut untuk penternak lembu dan kerbau tetapi masalah ini masih tidak dapat diselesaikan sebab penternak lembu dan kerbau enggan menggunakan padang ragut yang disediakan.
"Masalah haiwan merayau ini bukan sahaja menimbulkan masalah kebersihan alam sekitar malah lebih serius, kumpulan lembu-lembu dan kerbau-kerbau yang merayau-rayau ini boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya terutamanya pada waktu malam dan meragut nyawa," katanya.
Beliau berharap dengan wujudnya enakmen baharu tersebut, masalah haiwan-haiwan berkeliaran tersebut boleh ditangani dan diselesaikan bukan sahaja untuk kesejahteraan penduduk Perak tetapi untuk menjamin keselamatan dan nyawa orang awam.
Sementara itu, Zainol Fadzi ketika membahaskan usul berkenaan pula mencadangkan agar kempen kesedaran awam secara besar-besaran untuk mendidik pemilik haiwan dan masyarakat umum mengenai tanggungjawab mereka serta risiko kemalangan jalan raya akibat haiwan berkeliaran.
Katanya, sistem penandaan dan pendaftaran haiwan yang lebih berkesan juga perlu diperkenalkan untuk memastikan setiap haiwan ternakan ditandakan dengan jelas bagi memudahkan proses pengenalpastian dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pemilik haiwan yang cuai.
Beliau berkata, selain itu kajian semula bagi kadar denda serta hukuman terhadap pemilik haiwan yang membiarkan haiwan mereka berkeliaran perlu dilakukan supaya hukuman lebih berat boleh menjadi penghalang lebih efektif.
Menurut Zainol Fadzi, beberapa pelaksanaan yang telah dijalankan di luar negara atau negara jiran menggunakan teknologi seperti kamera pemantauan, dron dan aplikasi pemantauan pintar untuk mengesan dan memantau pergerakan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!