KUALA LUMPUR – SME Corp. Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal meningkatkan keberkesanan pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), pada Selasa.
Program TUBE bertujuan memupuk semangat keusahawanan dan menggalakkan belia Bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun menceburi bidang perniagaan.
Melalui MoU ini, impak keberhasilan (outcome) Program TUBE dalam melahirkan usahawan baharu serta keberkesanannya dalam meningkatkan tahap daya saing dan daya tahan perniagaan dapat diukur dengan lebih berkesan.
Kerjasama strategik ini membolehkan semakan berterusan dibuat terhadap status perniagaan Alumni TUBE dan merupakan kesinambungan kepada usaha mempermudah pendaftaran perniagaan peserta dalam MoU terdahulu yang telah dimeterai pada tahun 2017.
Majlis tersebut yang berlangsung di Ibu Pejabat SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur turut mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua organisasi ke arah memudah cara ekosistem dan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif khususnya berkaitan aspek pendaftaran perniagaan.
MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, ini juga secara tidak langsung berupaya meningkatkan pendaftaran perniagaan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan menggalakkan penformalan perniagaan, seterusnya meningkatkan sumbangan PMKS
kepada ekonomi negara.
Mengulas mengenai MoU tersebut, Rizal berkata, SME Corp. Malaysia melihat kerjasama strategik dengan SSM ini penting dalam mengenalpasti impak atau keberkesanan pelaksanaan program TUBE yang telah berjaya melatih seramai 8,543 usahawan belia Bumiputera dengan jumlah geran perniagaan disalurkan berjumlah RM120.96 juta.
"Selain itu, saya berharap agar skop kerjasama ini dapat dikembangkan meliputi inisiatif lain di bawah SME Corp. Malaysia terutamanya berkaitan pendaftaran PMKS melalui Status PMKS yang merupakan kriteria asas dalam menentukan kelayakan bagi semua program di bawah SME Corp. Malaysia,” katanya.
Manakala Nor Azimah pula menyatakan, kerjasama antara SME Corp. Malaysia dan SSM diharapkan dapat menerapkan budaya keusahawanan di samping memberi galakan kepada golongan belia Bumiputera menceburi bidang perniagaan.
"SSM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan landskap perniagaan dalam negara antaranya dengan melaksanakan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P).
"Menerusi MoU ini, SSM akan memanjangkan inisiatif-inisiatif ini kepada belia Bumiputera yang mengikuti Program TUBE dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
"Kerjasama strategik ini adalah langkah penting dalam memastikan ekosistem perniagaan di Malaysia berkembang dengan lebih inklusif dan dinamik," ujarnya.