SALAH satu tanda orang-orang yang bertakwa (muttaqin) adalah beriman kepada perkara-perkara ghaib seperti direkodkan dalam ayat kedua dan ketiga surah al-Baqarah:
"Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. (Iaitu) orang-orang yang beriman kepada (perkara) ghaib.”
Antara perkara yang termasuk dalam perkara ghaib ialah kewujudan jin dan syaitan.
Di negara kita khususnya berkait dengan orang Melayu, jin dan syaitan merupakan suatu perkara yang sering mendapat perhatian ramai dan kebiasaannya setiap orang ada pengalaman tersendiri dengan makhluk yang tidak nampak dengan mata kasar ini.
Ada yang terserempak, ternampak, disihir dengan jin dan dihantui ‘saka’ nenek moyang, malah lebih parah lagi ada yang lebih berani hingga membela makhluk halus ini.
Timbul persoalan, apakah umat Islam dibenarkan untuk berkawan atau menggunakan khidmat jin ini?
Dalam satu sesi soal jawab pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, pandangan jumhur ulama mengharamkan orang Islam untuk bersahabat dengan jin walaupun ada dalam kalangan mereka itu memeluk agama Islam.
"Dalam kalangan manusia yang kita boleh nampak hari ini pun ramai yang kena tipu, apatah lagi jin yang tidak nampak pada pandangan manusia,” katanya dalam satu rakaman video di YouTube miliknya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ustaz Azhar menjelaskan, larangan berkawan dengan jin adalah untuk menutup pintu kerosakan yang lebih teruk melalui kaedah sadduz zarai’.
Menurutnya, salah satu sebab orang Melayu membela hantu raya adalah untuk sentiasa nampak cantik walaupun sudah berusia.
Perkara tersebut disangkal penceramah itu dan beliau memberitahu tidak perlu berbuat demikian kerana umat Islam akan sentiasa muda dan kekal berada dalam usia 30 tahun apabila berada di dalam syurga walaupun sudah berada 1,000 tahun di dalamnya.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Islam melarang umatnya daripada mengambil atau menggunakan khidmat jin apatah lagi melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.
"Mengambil dan meminta pertolongan daripada jin akan menjadikan mereka lebih bongkak, sombong dan bertambah kejahatannya menerusi firman ALLAH SWT dalam ayat keenam surah al-Jin:
"Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
Tambahnya, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan penggunaan jin menurut Islam menyebut:
2 - Meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik adalah haram.
3 - Meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram.
4 - Meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum adalah haram.