JOHOR BAHRU - Dengan hanya bermodalkan pembesar suara dan menyanyi, dua pengemis warga asing yang melakukan kegiatan itu di medan selera, restoran dan pasar malam di bandar raya ini, mampu meraih pendapatan RM8,000 sebulan.
Kegiatan pengemis orang kurang upaya (OKU) itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan (JBS) melakukan serbuan pada 13 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, hasil daripada serbuan pada jam 8.30 malam itu, seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia 42 dan 53 tahun yang berperanan sebagai 'transporter' ditahan.
"Dalam serbuan yang sama, polis berjaya menyelamatkan dua lelaki OKU warga asing berusia antara 44 hingga 50 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi eksploitasi pengemis oleh sindiket.
"Polis turut merampas tiga telefon bimbit, tiga buah kereta, tiga alat kawalan jauh, sebuah alat pembesar suara dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM1,859.
"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan lelaki tempatan berusia 42 tahun yang merupakan penjaga atau pengurus dua lelaki OKU warga asing terbabit di sebuah pangsapuri pada jam 11.45 malam, 19 Jun lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.
Tambah Kumar, sindiket akan keluar negara untuk mencari individu OKU dan ditawarkan pekerjaan sebagai pengemis di negara ini.
"Sindiket akan menguruskan tempat tinggal mangsa di rumah teres yang disewa dan disyaratkan membayar RM800 seminggu untuk urusan pasport dan dikehendaki bekerja selama enam jam sehari.
"Wang kutipan seharian mengemis menjangkau sehingga RM250 hingga RM300 perlu diserahkan kepada penjaga yang akan membuat kutipan secara mingguan.
"Mangsa juga dikehendaki membayar RM10 sejam kepada 'transporter' yang menghantar mereka ke lokasi mengemis. Mangsa menerima bayaran upah sekitar RM300 sebulan setelah semua kos perbelanjaan bayaran pasport, urusan sewa dan pengangkutan," katanya.
Menurut beliau, penjaga tersebut didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670)
"Dua lagi suspek yang juga 'transporter' telah dikenakan waran tangkap sementara dua mangsa pengemis OKU berkenaan ditempatkan di rumah perlindungan untuk sementara," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!