Tidak wajar MBDK naikkan cukai taksiran - ADUN Sungai Kandis

Iklan
Wan Dzahanurin berucap dalam sesi Perbahasan Kajian Separuh Penggal RS1 semasa sidang DUN Selangor pada Selasa.

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tidak sewajarnya menaikkan cukai taksiran sekiranya tahap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, taklimat mengenai penilaian semula cukai taksiran itu telah diadakan membabitkan semua ADUN di kawasan pentadbiran PBT itu di Dewan MBDK pada 14 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, beliau percaya hampir semua rakyat termasuk ADUN kerajaan tidak bersetuju dengan kenaikan cukai taksiran.

"Saya percaya YB (Yang Berhormat) ADUN Pelabuhan Klang mesti bersetuju dengan saya dalam isu ini.

Iklan

"Kalau PBT memberikan perkhidmatan yang baik tentu rakyat tidak akan mengeluh, naiklah sedikit tetapi bukan secara mendadak," katanya dalam sesi Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Satu (RS1) semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Wan Dzahanurin berkata, masih banyak yang perlu ditambahbaik MBDK dari segi perkhidmatan dan khidmat perbandaran.

Iklan

"Saya ambil contoh di Sungai Kandis, masih banyak jalan berlubang tidak diselenggara dengan baik walaupun masalah ini berulang kali.

"Begitu juga masalah sampah, pokok yang mengganggu keselamatan masih tidak ditebang dan diselenggara mengikut jadual tertentu," ujar beliau.

Menurut beliau, apabila penduduk membuat aduan kepada MBDK, mereka tidak mendapat pembelaan dan tindakan segera.

Jelas Wan Dzahanurin, terdapat aduan yang mengambil tempoh masa lama hingga berbulan untuk diselesaikan.

"Bagaimana penduduk hendak berlapang dada atas kenaikan cukai oleh PBT yang tidak memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat?," soalnya.

Beliau turut mengambil contoh permasalahan yang sedang berlaku di Kampung Sungai Kandis, Johan Setia dan Andalas terutama mengenai kilang dan gudang yang tidak diketahui status pembinaannya di kawasan tanah pertanian.

Katanya, kewujudan premis terbabit menimbulkan keadaan tidak tenteram, kacau ganggu, isu keselamatan dan keharmonian kampung.

"Pembinaan kilang atau gudang di tanah lot berstatus pertanian ini tidak sesuai untuk ditukar status kepada tanah perindustrian kerana faktor infranya, kapasiti penduduk, sistem perparitan dan sistem sisa pepejal yang masih tidak dibuat penambahbaikan yang boleh merosakkan keadaan infra.

"Terdapat banyak aduan masih belum diselesaikan yang berlaku setiap hari di DUN kami," tambah beliau.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan negeri menambah peruntukan tahunan MBDK sebanyak 10 peratus khusus bagi pembangunan di DUN Sungai Kandis.

"Kami menuntut pembangunan atau pembaikan diberi keutamaan di DUN Sungai Kandis sebab alasan yang kami terima daripada MBDK bajet tidak mencukupi.

"Saya memohon sedikit kelonggaran sebab DUN Sungai Kandis sejak 10, 15 atau 20 tahun tak kira kerajaan mana pun, apa yang rakyat beritahu tak kira (ADUN) orang lama, baru termasuk saya keadaannya masih sama.

"Kita cuba hentikan rasa tidak puas hati penduduk, apa guna kita ada rizab banyak tetapi tidak kembalikan kepada rakyat apabila mereka memerlukan," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!