Konflik Rusia-Ukraine kembali meningkat

Iklan
Hospital Kanak-kanak Ohmatdyt yang musnah akibat serangan misil di Kiev pada Isnin. - Foto AFP

MOSCOW - Sistem pertahanan udara Rusia berjaya menembak jatuh 38 dron dilancarkan Ukraine di wilayah berhampiran sempadan, menurut Kementerian Pertahanan di Moscow pada Selasa, ketika konflik antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu kembali meningkat.

"Kesemua pesawat tanpa pemandu (UAV) itu dipintas di ruang udara beberapa wilayah termasuk di Kursk, Astrakhan, Rostov dan Voronezh,” ujar kementerian itu menerusi aplikasi Telegram.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Gabenor Astrakhan, Ibor Babushkin berkata, Kiev melancarkan serangan dron berskala besar di utara wilayah tersebut, namun ia berhasil ditangkis.

Difahamkan, kedua-dua musuh itu telah menggunakan pelbagai jenis dron termasuk yang mempunyai jarak jangkauan sehingga ratusan kilometer sejak konflik tanpa kesudahan itu bermula pada Februari 2022.

Iklan

Operasi yang meragut nyawa orang awam itu bagaimanapun dikutuk komuniti antarabangsa.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mendakwa Kremlin membedil bahagian selatan dan timur negara itu serta ibu kota yang memusnahkan hampir 100 struktur termasuk sekolah dan hospital hingga mencetuskan huru-hara serta pemindahan pesakit berskala besar di kemudahan perubatan yang terkesan.

Iklan

Menurutnya, sistem pertahanan udara mereka telah menembak jatuh kira-kira 30 projektil yang disifatkan sebagai langkah wajar untuk mempertahankan Kiev.

Zelenskyy yang menerima sokongan penuh Barat turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat tergempar untuk memberikan respons tegas terhadap hujan misil Rusia.

Rusia dalam satu kenyataan cuba menuding jari menyalahkan kelemahan sistem pertahanan udara Ukraine sebagai punca kebinasaan teruk yang dihadapi negara itu.

Moscow memberi alasan askar mereka mempunyai 'sasaran jelas' iaitu hanya industri pertahanan dan kemudahan tentera musuh. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!