KUALA LUMPUR - Selepas hampir enam jam memasuki bangunan pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Jalan Beringin, di sini, sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat keluar dari bangunan itu jam 5.45 petang.
Sepasukan anggota dan pegawai SPRM tersebut dilihat membawa bersama tiga buah kotak dipercayai berisi dokumen berkaitan HRD Corp yang dikaitkan dengan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.
Terdahulu, pasukan terdiri daripada 10 anggota dan pegawai termasuk seorang wanita dengan menaiki empat kenderaan berasingan tanpa logo SPRM mula tiba pada jam 11.30 pagi dengan masing-masing memakai kemeja berkot.
Sinar Harian turut melaporkan beberapa orang penyiasat SPRM turut mengambil dokumen dari Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Putrajaya pada Selasa.
"SPRM telah hadir di Kesuma dan HRD Corp untuk mendapatkan dokumen-dokumen untuk siasatan pada tengah hari ini.
"Fokus siasatan tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, dilaporkan berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam LKAN 2/2024.
Beliau berkata, pasukan siasatan juga akan ke Kesuma dan HRD Corp hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!