PELAWAK dan bekas penyampai radio, Shuk Sahar menerima dengan hati terbuka ‘hukuman’ yang diberikan akibat kontroversi rumah tangganya sejak 2021.
Mengakui sudah lebih dua tahun tidak menerima apa-apa tawaran berlakon mahupun mengacara, Shuk berkata, dia sama sekali tidak berasa terkilan kerana faham ia adalah implikasi daripada kesilapan sendiri.
"Sebelum ini ada masuk program Lawak 90 Saat terbitan Astro. Selain itu ada tawaran lain, tetapi kebanyakan diam begitu sahaja, jadi saya fahamlah...
"Ada juga yang cadang saya masuk pertandingan program realiti, tetapi ia bukan mudah. Sukar untuk saya buat keputusan,” katanya.
Tambah pemilik nama penuh Mohammad Shukri Mohamed Sahar itu, dia sendiri tidak menerima sebarang surat rasmi digam untuk satu tempoh tertentu dan hanya ‘faham-faham sendiri’.
"Saya tak ada terima sebarang surat rasmi dan bila dalam industri itulah salah satu cabaran yang perlu kita hadap.
Berkongsi lanjut detiknya memulakan hidup baru, Shuk, 38, memilih untuk pulang ke kampung dan memulakan perniagaan berasaskan produk penjagaan kulit wajah secara dalam talian.
Perniagaan itu secara tidak langsung membantu Shuk membina semula kehidupan, sebelum berhijrah ke Singapura bagi menyertai Poscast Ok Let’s Go.
"Banyak yang saya belajar daripada kesilapan lalu. Apa yang menguatkan diri saya adalah; tidak ada orang baik yang tiada kisah silam dan tidak ada orang jahat yang tidak mempunyai masa depan.
"Memang banyak yang saya hilang dulu, tetapi ada yang sudah digantikan sekarang. Saya rasa ia membuatkan saya lebih menjaga apa yang saya ada sekarang,” jelasnya.
Sebelum ini, rumah tangga yang dibina Shuk bersama Rossa Sera atau Rossalennah Natassyiah Asshaferah menjadi perhatian umum selepas wanita itu mendedahkan telah dicurangi suaminya.
Bagaimanapun perkahwinan yang dibina sejak 2015 berakhir dengan penceraian pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun.
Shuk kemudiannya kembali bergelar suami kepada Fara Salleh pada Novembet tahun lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!