Isu tanah punca pembangunan SABDA lewat - Rizam

Iklan
Rizam semasa sesi Penggulungan Usul Kajian Separuh Penggal RS1 pada sidang DUN Selangor pada Selasa.

SHAH ALAM - Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) bukanlah sengaja dilewatkan atau menghadapi kelemahan pengurusan, sebaliknya terdapat isu-isu teknikal khususnya yang berkaitan dengan tanah.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kemajuan sebahagian besar projek di fasa awal itu perlu menyelesaikan isu tanah terlebih dahulu sebelum fasa pemasaran kepada pelabur boleh dimulakan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, atas faktor itu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada tahun ini dan tahun depan akan memberi tumpuan berkaitan penyelarasan dan penyelesaian hal-hal tanah untuk memastikan tapak tanah bagi projek-projek itu sedia untuk dibangunkan dengan lancar kelak.

"Kajian terperinci juga akan dilaksanakan untuk memastikan konsep pembangunan bersesuaian dengan keadaan tanah dan keperluan serta potensi industri di lokasi masing-masing," katanya pada sesi Penggulungan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS1) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Iklan

Rizam memberitahu, sekiranya terdapat perkembangan positif berkenaan hal-hal tanah untuk tapak projek itu, proses Permintaan Untuk Cadangan (RFP) mungkin boleh dibuat seawal pertengahan tahun 2025 untuk mendapatkan pelabur dan pemaju yang sesuai untuk membangunkan projek-projek tersebut.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham bangkit mencelah semasa sesi perbahasan itu berikutan kelewatan pembangunan SABDA dan menggesa kerajaan negeri membuat perancangan realistik dan berpijak di 'bumi nyata'.

Iklan

"Kalau tidak, inilah yang akan kita hadapi dalam apa-apa rancangan sekali pun.

"Bila dibentangkan kemajuan bagi SABDA ini, terlalu banyak isu-isu tanah yang dibincangkan sedangkan dalam perbahasan saya semasa membahaskan Rancangan Selangor Pertama, saya dah sebut sekiranya kita tidak rancang dengan baik sebahagian tanah-tanah yang ingin dimajukan ini, maka usaha menarik pelabur tidak akan tercapai dan menemui jalan buntu.

"Saya ingin tanya pada Exco adakah yakin bahawa isu tanah ini boleh diselesaikan dalam keadaan segera dan boleh memastikan projek SABDA ini dapat direalisasikan, mungkin lima atau pun berapa tahun lagi untuk memastikan ia dapat dilunaskan," tambah beliau.

Sementara itu, Rizam memaklumkan, perkara dibangkitkan Muhammad Hilman itu akan diambil maklum.

"Terima kasih kepada Gombak Setia (Muhammad Hilman) kerana begitu peka dengan pembangunan SABDA ini," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!